Fasal: Patutlah baginya (pengajar) untuk memberi nasihat kepada para pelajarnya, kerana Rasulullah SAW telah bersabda:
“Agama
ini adalah nasihat. Kami (para sahabat) bertanya: “Untuk siapa wahai
Rasulallah?”. Jawab Baginda: “Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, para
pemimpin muslimin serta masyarakat muslimin seluruhnya”.
Riwayat Bukhari dan Muslim.
Termasuk
nasihat kepada Allah dan KitabNya adalah:-
Memuliakan pembacanya serta
penuntut ilmunya, menuntun mereka kepada apa yang membawa kebaikan untuk
mereka, berlemah lembut kepada mereka, menolongnya untuk mendapatkan
ilmu, menjinakkan hati penuntut, berlapang dada di dalam mengajar,
berhemah serta memotivasikannya untuk menuntut ilmu.
Sudah semestinya seorang guru patut sentiasa mengingatkan penuntut ilmunya tentang kelebihan-kelebihan (ilmu dan menuntut ilmu) agar mereka lebih giat dan bertambah gemar kepada ilmu, lalu bertambah zuhud di dunia dan tidak tertipu dengan tipuannya.
Juga diperingatkan dengan kelebihan menyibukkan diri dengan Al Quran serta seluruh ilmu syariat,
kerana ia adalah jalan para ‘arifin, hamba-hamba Allah yang solehin dan
itulah martabat dan jalan yang ditempuh oleh para anbiya -selawat dan
salam ke atas mereka-.
Semestinya
ia mengasihi para pelajar serta mengambil berat permasalahan mereka,
seumpama ia mengambil berat perihal anak-anaknya serta dirinya sendiri.
Letakkan dirinya seolah-olah seorang bapa pada kasih sayang kepada
mereka, bersabar di atas kedegilan dan kelakuan buruk mereka, memberi
keuzuran terhadap kekurangan adab mereka pada sesetengah keadaan kerana
manusia ini bersifat serba kekurangan, lebih-lebih lagi jika ia seorang
kanak-kanak atau remaja.
Kemudian
hendaklah ia menyukai untuk muridnya apa yang disukai untuk dirinya
daripada kebaikan-kebaikan, serta membenci untuk muridnya apa yang ia
sendiri tidak menyukainya.
Sesungguhnya telah tsabit di dalam As Sahihain daripada Rasulillah SAW bahawa Baginda bersabda:
“Tidak beriman (sempurna) seseorang daripada kamu sehingga ia menyukai untuk saudaranya apa yang ia sukai untuk dirinya sendiri”.
Dan daripada Ibn Abbas ra katanya:
“Orang yang paling mulia padaku adalah teman duduk yang sanggup
melangkahi manusia untuk duduk bersamaku. Seandainya aku dapat untuk
tidak membiarkan seekor lalat singgah di wajahnya, pasti aku akan
melakukannya”.
Di dalam riwayat yang lain:
”Jika seekor lalat hinggap di wajahnya sahaja, itu sudah cukup untuk menyakitiku”.
Hendaknya lagi ia tidak membesarkan diri kepada para muridnya sebaliknya berlemah lembut dan bertawadhu’
kepada mereka.
Bertawadhu’ kepada seorang manusia biasa saja sudah
perlu, bagaimana pula dengan mereka yang diibaratkan seperti
anak-anaknya sendiri beserta dengan kesibukan mereka dengan Al Quran dan
hak persahabatan yang dimiliki oleh mereka, ditambah lagi dengan
kerapnya mereka mengunjungi dan bersamanya untuk menuntut ilmu.
Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda:
“Berlemah lembutlah kamu kepada sesiapa yang kamu ajari serta sesiapa yang kamu belajar darinya”.
Dan daripada Abi Ayyub as Sakhtiyani ra, katanya:
“Sepatutnya seorang yang alim itu menaburkan tanah di atas kepalanya sebagai tanda tawadhu’ kepada Allah”.
Fasal: Menjadi kewajaran kepada pengajar untuk mendidik pelajarnya secara beransur-ansur
dengan adab yang terpuji, budi pekerti yang diredhai, melatih nafsu
dengan mengenali selok belok tipuannya, membekalkannya dengan perisai
untuk menghadapi setiap urusannya yang zahir mahupun yang batin,
menggesanya dengan perkataan dan perbuatan agar mengikhlaskan amal,
bersikap benar dan memperbaiki niat serta merasakan pengawasan Allah
setiap ketika.
Beritahukan
kepadanya bahawa semua itu akan menjadikan dadanya lapang dan bersedia
untuk menerima siraman cahaya pengetahuan dan kearifan sehingga akan
terpancar di dalam hatinya mata air hikmah dan rahsia-rahsia pengetahuan
lantas ia akan diberkati pada ilmunya dan keadaannya serta akan
dikurniakan taufiq pada perbuatan dan perkataannya.
Fasal: Tugas mengajar adalah fardhu kifayah, jika tiada yang mengemban / mendukung tugas
ini maka ia akan bertukar menjadi fardhu ain. Tetapi jika di sana ada
segologan manusia yang telah menjalankan tugas ini maka memadai. Jika
tiada maka seluruh masyarakat berdosa, namun jika telah ada yang
melakukannya, yang lain terlepas dari beban dosa.
Sekiranya
seseorang diminta mengajar lalu ia tidak mahu, maka pendapat yang
terpilih di antara dua pendapat adalah mereka tidak menanggung dosanya,
sebaliknya orang yang diminta mengajar itu boleh dipaksa untuk mengajar
jika ia tidak mempunyai sebarang keuzuran.
Bersambung...-Abu Najla-
No comments:
Post a Comment