Tuesday, August 10, 2010

APA?!! KALIMAH ALLAH PADA SANDAL CROCS?


Salaam..


Kebelakangan ini terdapat imej-imej yang bertebaran di dunia maya tanpa sempadan menunjukkan lafaz ALLAH pada lambang CROCS. Pada mulanya saya (admin blog ini) merasakan tidak perlu untuk menanggap hal-hal yang sebegini, namun apabila melihat penyebarannya makin ketara, maka rasanya perlu juga mengutarakan pendapat mengenainya.

Apakah benar lambang buaya pada selipar itu dimaksudkan dengan kalimah ALLAH? Saya katakan, ini semua adalah dakwaan yang tidak berasas dan sikap mengada-ngada dan melampau yang timbul dari jiwa yang miskin. Atau ringkasnya boleh dikatakan PARANOID. Mereka yang memiliki perasaan ini mempunyai satu gambaran di dalam mindanya yang sempit itu, lalu setiap yang dilihatnya akan dilencongkan bagi menepati gambaran yang sedia diprogramkan di dalam otaknya tadi.

Sudah banyak kes seperti ini yang disebarkan kepada umum, seperti suatu waktu dahulu dikatakan kalimah ALLAH pada logo singa susu F&N, kemudian tulisan Coca Cola yang diterbalikkan menjadi La Muhammad La Makkah, tanda salib di sejadah dan lain-lain lagi. Kita menentang jika memang benarlah sengaja ditulis terang-terangan seperti yang dimaksudkan, tetapi dalam kes sebegini, didapati semuanya adalah dakwaan yang timbul dari rasa PARANOID itulah. Jangan nanti ada pula yang sampai menyarankan agar ditukar tanda jalan menunjukkan simpang empat di hadapan pula kerana ia terang-terangan berupa salib!

Hal ini samalah juga seperti orang yang dikuasai rasa takut kepada hantu, lalu setiap kejadian yang berlaku akan dikaitkan dengan hantu. Langsir yang bergerak ditiup angin, bunyi kipas berkeriut, bunyi cicak dan entah apa-apa lagi disangka hantu punya kerja. Atau juga seperti orang yang taksub dengan gangguan makhluk halus, lalu sakit perut akibat salah makan pun akan disangka ada yang berniat jahat cuba menghantar santau!


Ini jugalah yang melanda non-muslim di Eropah dan Amerika, iaitu yang dinamakan Islamophobia. Lantas apa sahaja yang bernama Islam, atau dikaitkan dengan Islam, maka segera disinonimkan dengan keganasan. Tentunya kita tidak gembira dengan hal tersebut, kerana kita sebagai umat Islam amat tahu bahawa agama ini datang membawa damai. Tetapi bagaimanakah kita boleh tidak suka dengan perkara tersebut sedang dalam masa yang sama kita sendiri menyuburkan sikap yang serupa di dalam diri kita.


Kembali kepada lambang ALLAH pada selipar Crocs tersebut, apakah benar seperti yang dikatakan? Jawapannya, karut semata! Hendaknya orang yang menyebarkannya berhenti daripada perbuatan bodoh tersebut, dan tidak akan mempercayainya melainkan orang yang setaraf pemikiran dengan penyebar itu juga. Juga diharapkan agar umat Islam tidak lagi menjadikan kotak minda mereka seumpama tong sampah yang boleh dicampakkan apa saja maklumat-maklumat sampah ke dalamnya. Wallahua’lam.

Saturday, August 7, 2010

GOTONG ROYONG MENYAMBUT RAMADHAN

Salaam.


Sudah menjadi satu kemestian kebanyakan masyarakat kita akan membersih dan menghias rumah masing-masing sebagai menyambut kedatangan Aidilfitri. Seminggu sebelum Lebaran, ramailah yang mula mengecat baru rumah bahkan pagar rumah mereka, memasang langsir dan karpet baru dan apa-apa lagilah.


Tradisi ini bukanlah satu kesalahan melainkan jika membawa kepada pembaziran atau menunjuk-nunjuk dengan niat bermegah-megah. Sifat sukakan kebersihan dan keindahan adalah petanda keimanan masih bersemi di dalam jiwa.


Namun, apa kata pada tahun ini kita melakukan sedikit modified kepada tradisi itu? Jika sebelum ini, hanya kedatangan lebaran saja kita raikan dengan membersihkan rumah, maka pada tahun ini kita ajak anak isteri dan keluarga sama-sama bergotong-royong membersihkan rumah sempena kedatangan Ramadhan. ( Semoga tidak ada yang akan melabelkan bid’ah pula pada amalan ini )


Tidak perlu sehingga menukar langsir atau karpet baru, hanya sekadar mari sama-sama kita membuang sawang dan sarang lelabah yang bergantungan semenjak tahun lepas di siling rumah kita, kita susun semula buku-buku yang berselerakan di rak, kita buangkan habuk-habuk yang berkumpul di mushaf Al-Quran yang sekian lama tidak disentuh dengan azam di hati untuk membaca dan mempelajari kandungannya pada Ramadhan ini dan seterusnya… Sambil-sambil bergotong-royong itu, bolehlah kita menyelitkan perbualan santai tentang keutamaan Ramadhan kepada anak dan isteri, cerita-cerita bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat meraikan Ramadhan berbanding kita yang lebih meraikan 1 Syawal dan lain-lain lagi.


Untuk maksud itu, MTK juga pada tahun ini telah mengadakan gotong-royong pada Rabu dan Khamis 4 dan 5 Julai baru-baru ini. Tanpa berlengah lagi apa kata mari kita sama-sama saksikan gambar-gambarnya di bawah. ( sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas )







Macam berlakon je..



Ni lagi sorang..



"Oh Tandas! Berkualiti!"



Wei, aku jumpa daun ketum la! (Latif)











Gerangan siapakah ini?



Ini namanya kerja lepak..







Khusyu' betul Jib!











Cari apa tu?



Haii Pak Din, relax nampak!



Aksi professional menyapu











Cewah Sadiq tu!



Thursday, August 5, 2010

KENDURI MENYAMBUT RAMADHAN DI TASEK CHEMPEDAK

Salaam.

Bertemu lagi kita di alam maya ini. Kali ini admin akan membawakan siaran tertunda Majlis Kenduri sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al Mubarak yang telah berlangsung di Masjid Kg Tasek Chempedak, Simpang Ampat SPU pada 31 Julai baru-baru ini.


Majlis ini telah dijayakan secara gotong-royong dengan penglibatan pelajar-pelajar MTK bersama para penduduk kampong. Bermula petang Jumaat 30 Julai lagi, sebahagian para pelajar MTK telah bertolak ke Tasek Chempedak bagi memulakan kerja-kerja melapah daging dan memasang khemah serta memasak lauk pada sebelah malamnya. Seekor lembu telah ditumbangkan bagi menyediakan juadah buat santapan para jemputan.


Sekitar jam 11.30 pagi, majlis dimulakan dengan ceramah oleh Al Fadhil Ustaz Mohd Lutfi bin Ariffin daripada Madrasah Nurul Hidayah, Tembak, Kuala Ketil. Usai ceramah, para tetamu beredar ke bawah khemah bagi menikmati jamuan yang masih panas dan sedia terhidang ( gambar para jemputan menikmati hidangan tidak sempat diambil, kerana jurugambar sibuk dengan kerja-kerja menghidang ;) ).


Bersilih ganti tetamu datang dan pulang sehinggalah masuk waktu zohor dan solat berjemaah didirikan. Khemah dan peralatan dikemaskan selepas melihatkan tiada lagi tetamu yang datang setelah solat zuhur.


Penganjuran majlis seperti ini menghidupkan kembali budaya bergotong royong yang kita lihat semakin pupus diasak budaya baru penyediaan kenduri kendara dengan khidmat caterer. Di samping itu, ia juga menjadi medan buat para pelajar MTK belajar menyesuaikan diri dengan kerja-kerja kemasyarakatan sebagai bekal untuk mereka di masa hadapan supaya tidaklah mereka menjadi para huffaz yang sekadar tahu berinteraksi dengan mushaf, namun kekok apabila bermasyarakat akibat tiadanya pendedahan semasa zaman remaja.


Apapun, syabas diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan majlis tersebut, terutamanya Chef de Mission, Pak Teh Idris yang menjadi Komanden memantau dan menguruskan dari awal hingga akhir majlis tersebut.


Berikut adalah gambar-gambar sekita majlis yang sempat dirakamkan oleh Firdaus, jurukamera amatur MTK. Lagi gambar akan diupload kemudian disebabkan liputan broadband yang mengecewakan. ( sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas )














































Sedih mengenangkan lembu yang terkorban