Fasal: Berhati-hati dengan tidak menjadikan maksudnya untuk memperbanyak pengikut dan orang yang belajar kepadanya.
Hendaklah berjaga-jaga agar tidak membenci pelajarnya yang turut belajar dengan orang lain.
Ini
adalah musibah yang menimpa sebahagian para pengajar yang jahil. Dan
ini adalah menjadi petunjuk kepada buruknya niat dan rosaknya tujuan.
Bahkan ia adalah hujjah yang pasti tentang kosongnya niatnya mengajar
semata-mata kerana mengharapkan keredhoan Allah yang Maha Tinggi lagi
Terpuji.
Disebabkan
jika benarlah niatnya, maka mengapa ia membenci pelajarnya belajar
dengan orang lain? Bahkan ia sepatutnya berkata kepada nafsunya; “Aku
hanya mengharapkan pengajaranku ini satu ibadat, dan aku telah mencapai
tujuanku itu, dan pelajarku hanya bermaksud untuk menambah ilmunya
dengan orang lain, alangkah tidak patutnya jika aku mencela atau tidak
menyukainya”.
Sesungguhnya
kami telah meriwayatkan di dalam Musnad Imam yang disepakati dengan
kekuatan hafalan dan keimamannya, Abi Muhammad Ad Daarimi ra, daripada
Ali bin Abi Talib ra bahawa ia berkata:
”Wahai
para penghafal Al Quran! Atau wahai pembawa ilmu! Beramallah dengannya,
kerana yang disebut alim itu adalah seorang yang beramal dengan
ilmunya, dan amalnya tepat pula dengan ilmunya. Nanti akan datang
segolongan manusia yang membawa ilmu namun tidak melepasi kerongkongan
mereka. Amal mereka berbeza dengan ilmu mereka, batin mereka tidak
seperti zahir mereka. Mereka berkumpul untuk membangga-banggakan diri
sesama mereka sehinggakan ada yang sampai memarahi temannya kerana
temannya itu meninggalkan dirinya untuk pergi belajar kepada orang lain.
Mereka itulah orang yang amal mereka di dalam perhimpunan mereka tidak
akan diangkat kepada Allah Ta’ala”.
Sesungguhnya telah sahih daripada Al Imam As Syafi’e ra katanya:
”Aku
berharap agar manusia mempelajari ilmu ini- yakni ilmunya dan
kitab-kitab karangannya- lalu tidak menyebut-nyebut bahawa ianya dariku
walau sepatah huruf pun!”
Fasal: Hendaklah seseorang pengajar itu berakhlak dengan akhlak yang mulia
seperti yang telah disebutkan syarak, serta menghiasi diri dengan
sifat-sifat terpuji dan keperibadian yang diredhai yang ditunjukkan
Allah kepadanya seumpama zuhud di dunia, menyedikitkan daripadanya (dunia) serta menjauhi daripada menyibukkan diri dengannya dan para pemburunya.
Juga
menjadikan hiasan dirinya sifat pemurah dan dermawan, akhlak yang
mulia, berwajah ceria yang tidak menjadikan ia memejamkan mata dari
kemungkaran, lemah lembut, sabar, jauh dari perbuatan hina, melazimkan
sifat warak, khusyuk, tenang, sopan dan tawadhu’, rendah diri,
menghindari ketawa dan gurau senda yang melampau.
Selain
itu ia juga sewajarnya melazimkan diri dengan menjaga kebersihan dan
kerapian iaitu menghilangkan kekotoran dan bulu-bulu yang diperintahkan
syarak untuk membuangnya seperti memendekkan misai, memotong kuku,
merapikan janggut, menghilangkan bau-bau yang tidak enak serta pakaian
yang dibenci syarak.
Hendaklah
ia berhati-hati dengan menjauhi sama sekali sifat hasad, riya, ujub,
meremehkan orang lain meskipun yang lebih rendah (kedudukan dan
keilmuan) darinya, dan sewajarnyalah ia mengamalkan tasbih, tahlil,
zikir dan doa-doa yang dinukil dari hadis-hadis, serta sentiasa
merasakan pengawasan Allah terhadapnya ketika bersendirian mahupun
bersama manusia dan menjadikan penyerahan seluruh urusannya hanyalah
semata-mata kepada Allah yang Maha Tinggi.
Fasal: Hendaklah seorang pengajar itu berlemah lembut dengan pelajarnya, meraikannya serta berbuat baik kepadanya mengikut keadaan pelajar itu.
Kerana
sesungguhnya kami telah meriwayatkan daripada Abi Harwan al ‘Abdi
katanya: kami datang kepada Abu Said al Khudri ra, lalu ia berkata:
”Selamat
datang wahai mereka yang disebutkan oleh Rasulullah SAW! Sesungguhnya
Nabi SAW telah bersabda: “Manusia akan mengikuti kamu (para sahabat).
Nanti akan datang lelaki-lelaki dari segenap penjuru dunia untuk
mempelajari agama dari kamu, maka apabila mereka datang sambutlah mereka
dengan kebaikan”.
Diriwayatkan
oleh At Tirmizi, Ibnu Majah dan selainnya.
Dan kami juga telah
meriwayatkan seumpamanya di dalam Musnad Ad Daarimi daripada Abi Dardaa
ra.
Bersambung...
-Abu Najla-
No comments:
Post a Comment