Tuesday, September 25, 2012

MASTER CHEF MTK - MARI BELAJAR BUAT MEE #1

Assalamualaikum warahmatullah.

Mungkinkah ada di antara tuan2 & puan2 semua yang pernah membaca entry sekitar tahun 2009 bertajuk 

Jika pada entry tersebut tuan2 & puan2 semua hanya dapat melihat gambar2 sahaja, maka di kesempatan ini  saya berkelapangan pula untuk memuat naik videonya yang akan saya jadikan bersiri #1 , #2 dan seterusnya.

Selamat menonton!







Wednesday, September 19, 2012

Di Hening Malam - Diwani (Cover)

Assalamualaikum warahmatullah.

Ha, kali ini mari kita saksikan persembahan para pelajar MTK menyampaikan nasyid bertajuk "Di Hening Malam" pula. Saksikan!





Tuesday, September 18, 2012

SEKITAR PROGRAM IHYA' RAMADHAN 2012

Assalamualaikum warahmatullah.

Pada Ramadhan lalu, pelajar2 MTK telah dijemput menghadiri majlis Ihya' Ramadhan anjuran PERDA yang turut dihadiri oleh TYT Gabenor Pulau Pinang.

Para pelajar turut diminta mempersembahkan dua buah nasyid di majlis tersebut. Mari kita sama2 melihat gambar2 dan video nasyid yang sempat dirakam lensa kamera seperti berikut:-

(Sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)







Berikut adalah video nasyid para pelajar yang sedang menyampaikan lagu "Bersatu" dendangan asal oleh kumpulan Raihan:-




Tuesday, August 14, 2012

Beraktiviti Di Ulu Paip

Assalamualaikum buat para pengunjung blog yang dikasihi.

Pada 23 Jun yang lalu, pihak Madrasah telah berkesempatan untuk membawa para pelajar berkelah selama sehari di sebuah jeram di daerah Kulim, Kedah yang disebut Ulu Paip.

Pemergian dengan 4 buah kenderaan itu diiringi oleh semua guru berserta Pak Teh, abang kepada Mudir kita. Alhamdulillah, perjalanan lancar tanpa sebarang masalah. Aktiviti juga berjalan dengan baik. Para pelajar kelihatan semuanya riang gembira bermandi-manda dan bersenda gurau sesama mereka.

Apa yang diharapkan daripada aktiviti luar sebegini adalah merehatkan sebentar pelajar daripada memikirkan tentang sabak, sabki dan manzil mereka. :) Seterusnya aktiviti sebegini juga dapat mengembalikan semangat belajar jika kena gayanya selain dapat mengeratkan ukhuwwah sesama mereka dan juga ukhuwwah dengan para ustaz mereka.

Kesimpulannya adalah... Hmm, adalah lebih baik kita lihat saja gambar-gambar yang sempat dibidik lensa kamerawan MTK pada hari tersebut:-  :)

(Sila klik pada gambar untuk paparan lebih mengancam) ;)

Perbarisan sebelum berlepas

Nampak semangat semuanya

2 jam kemudian.. "Haisyy! Bila nak gerak ni..!" (Arif Faaiz)

Kenderaan2 yang bersiap sedia berkhidmat mengangkut para pelajar sebentar lagi





Isy, janganla tolak! (Pelajar A) "Relax, sabaq..Semua boleh naik satgi.." (Pak Cik)


Ha, kan dah cakap semua boleh naik. Sabaq kan baguih! (Pak Cik)

"Haisy, van ni dah penuh la pulak! Baik aku cepat pi naik van lagi satu!" (Pak Din)

"Nampaknya kita kena jalan kaki la Munadhil! Van semua dah penuh.."
"Sorang lagi boleh?" (Daud)
"Jom kita!" (Us. Faris)

"Ha, nin dia tempatnya nak habaq bagi kat hangpa!". "Err, macam menyeramkan ja ustaz.."
Sedang mendengar taklimat daripada Pak Teh The Marsyal
 
"Hangpa sebelum mandi kena berkawat dulu!"

Us Fadhlan khusyuk mendengar taklimat Marsyal

"Lepas berkawat kita buat pertandingan menyelam pulak"
"Ingat! Sapa tak berkawat dia kena balik berjalan kaki!"

"Sebelum tu, kita nak uji ketahanan hangpa berjemur bawah matahari dulu"
"Duri kawat mana pulak melekat kat selipar aku ni.." (Adib)
"Adib! Orang cerita pasai kawat hang dok sibuk pasai duri kawat! Sat lagi hang kena menyelam selama 20 minit!"

"Haha.. Abang Adib kena denda!"
"Ohhh...." (Adib)

Tengok, kita tak payah kawat pun dah boleh mandi!

"Kakak! Ada ikan kelisa la!"
"Tengok ni, Afaf sauk ikan kelisa!"

"Hii, ikan kelisa mana ada kat sini la.. Merepek betul Haffaf ni.." (Kayyis) "Betul, betul, betul! (Waffa)

Acara kawat bermula

"Barisan bagi lurusss!" (Pak Teh)
"Inilahh barisan kitaa!"

"Mana dia lubuk yang paling dalam ni? Aku dah tak sabaq nak menyelam!

Aksi bebas sebelum terjun tiruk di air cetek

"Tolong la, aku takut lemas.."


 

"Hangpa mandi puas2! Nanti balik jangan dok mandi kat sungai belakang madrasah pulak!" (Us Zol)

Bapa mithali





Amal Soleh dan Salah Faham Mengenainya.

Assalamualaikum.

Selamat menjalani ibadah puasa buat para pengunjung semua. Sempena sepuluh hari dan malam terakhir Ramadhan ini, marilah kita semua mempertingkatkan amal soleh mudah-mudahan Allah akan menyenaraikan kita bersama mereka yang mendapat anugerah pelepasan daripada neraka.

Seharusnya kita tidak menyempitkan minda kita dengan memahami takrifan amal soleh dengan skop yang sempit seperti solat sunat dan membaca Al-Quran semata-mata. Ini kerana Admin melihat demikianlah pemahaman kebanyakan kalangan masyarakat.

Amal soleh seharusnya difahami dengan konteks yang lebih luas cakupannya. Menghindari yang ditegah itu amal soleh, menjaga lidah dan perilaku itu amal soleh. Berakhlak mulia, sabar, menolong orang lain, memudahkan urusan orang lain, bertimbang rasa di jalan raya, melakukan kerja atau tugasan kita dengan penuh itqan dan banyak lagi jika hendak disenaraikan; semuanya itu dikategorikan sebagai amal soleh.

Kegagalan melihat amal soleh dalam konteks yang luas inilah akan menyebabkan seseorang itu mungkin berjaya khatam Al-Quran dua kali di bulan Ramadhan, tetapi lidahnya tidak dijaga dari mengumpat dan ungkapan-ungkapan kotor. Mungkin solat tarawihnya dan tadarusnya setiap malam, ditambah lagi dengan Tahajud dan Dhuha, namun curi tulang dan sambil lewa di tempat kerja. 

Seorang peniaga mungkin bersolat dengan tertibnya Masya Allah!, berwirid dan berzikir panjang selepas solat, selepas itu bersolat Rawatib pula, tetapi keluar daripada masjid berniaga tanpa kejujuran, menipu pelanggan, menyembunyikan kecacatan barang jualan dan sebagainya yang ditegah agama.

Islam hanya dilihat pada penampilan semata-mata, Allah hanya di tikar sejadah dan di masjid, ibadah dijadikan acara dan upacara, maka Islam menjadi tidak ubah seperti agama yang telah difahami oleh Yahudi dan Kristian. 

Mengapa kita melihat masjid penuh pada solat Jumaat, solat sunat Dua Hari Raya, dan solat tarawih bulan Ramadhan? Mengapa kita melihat berbondong-bondong umat Islam menziarahi kubur pada pagi Hari Raya? Jawapannya adalah kerana ibadah-ibadah di dalam agama ini sudah difahami dan dianggap sebagai suatu acara dan upacara, bukan lagi ibadah dengan pengertian yang sebenar-benarnya.

Semoga tulisan ini sedikit sebanyak dapat mengetuk kotak fikir kita tentang kelalaian kita memahami dan menghayati pengertian ibadah selama ini. Harapannya agar kita menjadi umat yang lebih mampu untuk beribadah kepada Allah dalam pengertian yang lebih luas dan kembali mampu memikul tugas sebagai seorang hamba sekaligus khalifahNya mengurus dunia ini sebagai ladang akhirat. 

Wassalam.


~Abu Najla~

Thursday, June 14, 2012

"Nostalgia" - Rehearsal (2009)

Assalamualaikum.

Kali ini kita saksikan pula video daripada koleksi video-video retro MTK yang memaparkan bagaimana para pelajar MTK ketika itu bernasyid "Nostalgia" untuk majlis Muhadhoroh bulan Mac 2009.


Saksikan!

Wednesday, June 13, 2012

FIKIR-FIKIR CARI IDEA..

Assalamualaikum buat semua pengunjung blog.

Ketika menggodek-godek folder lama album MTK, Admin terjumpa video-video lama ketika mana rakaman dan gambar banyak sekali dilakukan pada aktiviti2 pelajar. 


Oleh kerana terdapat sedikit kelapangan masa, maka Admin mengambil kesempatan menukar format video yang sesuai seterusnya mengupload beberapa video ke youtube di akaun youtube MTK. (boleh klik di tab di atas blog ini).

InsyaAllah sekiranya ada lagi waktu terluang yang munasabah, akan diuploadkan lagi koleksi video-video yang penuh nostalgia tersebut. :)

Berikut adalah video yang dirakamkan sekitar bulan Februari 2009. MTK akan menganjurkan Muhadhoroh antara pelajar pada bulan Mac tahun berkenaan, jadi sebahagian pelajar ada yang bernasyid dan berforum perdana. Kita akan saksikan melalui video di bawah ini bagaimana mereka memerah otak mencari idea untuk isi-isi penting forum tersebut. 

Saksikan! :) 

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #11


BERSEMANGAT MENUNTUT ILMU

Di antara adab yang pasti adalah:
  • Bersemangat menuntut ilmu, berterusan menuntutnya pada setiap ketika dan kesempatan. Tidak merasakan cukup dengan sedikit ilmu jika ia berkemampuan mendapat lebih banyak. Tidak membebankan dirinya di luar kemampuan sehingga melemparkan dirinya dari medan ilmu disebabkan jemu. Dan tidak wajar baginya menyia-nyiakan apa yang telah diraihnya. Dan ini semua berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain disebabkan perbezaan karektor dan keadaan.
  • Apabila ia datang ke majlis gurunya lalu ia tidak mendapatinya, lazimkanlah diri menunggu di pintu guru agar ia tidak luput daripada memperdengarkan bacaannya. Kecuali ia tahu yang gurunya tidak menyukai (menunggu) ditambah pula menjadi kelaziman syeikh untuk menyemak pada waktu-waktu tertentu sahaja (mengikut jadual yang tetap).
  • Jika ia mendapati gurunya sedang tidur, maka jangan pula mengejutkannya, tetapi bersabarlah menunggu sehingga ia bangun atau selesai, atau ia pergi sahaja tanpa menunggu. Tetapi bersabar menunggu itulah yang lebih utama sepertimana yang dilakukan oleh Ibn Abbas dan selainnya dari para ulama.
  • Hendaknya seseorang bersungguh-sungguh mengambil kesempatan menuntut ilmu ketika waktunya masih lapang, kemahuannya masih tinggi,badannya masih kuat, fikirannya masih jernih dan kesibukannya masih kurang sebelum tibanya penghalang-penghalang dan sebelum ia mempunyai kedudukan. Berkata Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab ra: ”Tafaqquhlah (tuntutlah ilmu agama) sebelum kamu diangkat menjadi ketua”. Maknanya; Bersungguh-sungguhlah menyempurnakan kepakaran kamu semasa kamu masih seorang pengikut sebelum kamu menjadi pemimpin (orang yang diikuti). Ketika itu kamu akan terhalang untuk belajar dikeranakan ketinggian kedudukan kamu tersebut, ditambah banyaknya kesibukan-kesibukan kamu sebagai ketua (sehingga tiada lagi kesempatan masa lapang untuk kamu belajar). Dan inilah makna perkataan Imam As Syafie ra: ”Belajarlah sebelum kamu memimpin, kerana apabila kamu memimpin, tiada ruang lagi buat kamu untuk belajar”.
  • Hendaklah ia berpagi-pagi untuk membaca kepada gurunya kerana sabda Nabi SAW: ”Ya Allah, berkatilah umatku pada awal pagi mereka”.
  • Haruslah ia menjaga apa yang telah dihafalnya, dan tidak wajar untuk ia mengutamakan orang lain ketika gilirannya telah tiba kerana mengutamakan orang lain di dalam hal kedekatan kepada Allah adalah makruh, berbeza dengan mengutamakan orang lain di dalam urusan peribadi kerana ia disukai. Jika gurunya melihat patut mengutamakan orang lain, lalu mengisyaratkan sedemikian, maka hendaklah ia patuh.
  • Wajiblah baginya untuk tidak berhasad dengki dengan seorang pun daripada temannya disebabkan kurnia Allah kepada mereka.
  • Juga janganlah ia merasa ‘ujub (bangga diri/”bajet”) dengan anugerah Allah kepadanya, seperti yang kami telah jeaskan sebelum ini di dalam adab guru. 


Cara untuk menghindari ujub adalah:
    1. Dengan menyedari bahawa semuanya adalah anugerah Allah, bukannya dengan kepandaian dan kehebatan hafalannya.
    2. Menyedari bahawa semua itu adalah pinjaman dari Allah semata.
Jalan untuk menepis hasad dengki pula adalah:
  1. Mengetahui bahawa Allah mempunyai hikmah tersendiri menempatkan kurniaNya kepada seseorang, maka janganlah ia membencinya pula.
Bersambung...
-Abu Najla-

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #10


ADAB BERSAMA TEMAN-TEMAN.

  • Hendaklah ia beradab dengan teman-teman dan hadirin kerana ia juga termasuk adab kepada gurunya dan memelihara kehormatan majlisnya.
  • Hendaknya ia duduk di hadapan guru seperti seorang murid bukannya seperti duduk seorang guru.
  • Tidak mengangkat suara tanpa hajat, tertawa, banyak bercakap tanpa keperluan, bermain-main dengan tangannya atau lainnya, menoleh ke kanan dan ke kiri tanpa hajat, tetapi hendaklah ia menghadap kepada guru dan memberi perhatian kepada kata-katanya.



ADAB BERSAMA GURUNYA

Di antara adab yang perlu diambil perhatian penting adalah;
  • Ia tidak membaca kepada guru dalam keadaan jiwa gurunya tidak keruan atau tidak bersemangat. Atau dalam keadaan hati gurunya tidak tenang, gelisah, gundah, sedih, gembira, dahaga, mengantuk, bergoncang atau seumpamanya yang menghalang gurunya dari memberi perhatian terhadap bacaannya. Dengan itu hendaklah ia mengenal waktu gurunya bersedia lalu merebut kesempatan untuk membaca.
  • Di antara adabnya juga, hendaklah ia sanggup bersabar menanggung sikap guru yang mungkin ia tidak menyukainya, atau kekasaran akhlaknya. Serta dengan itu tidak menghalangnya daripada melazimi gurunya dan meyakini kesempurnaannya (ilmunya). Haruslah ia menakwilkan perbuatan dan perkataan gurunya yang nampak buruk pada zahirnya dengan takwilan atau sangkaan yang baik. Dan tidak ada yang tidak sanggup melainkan disebabkan kurang atau tiadanya taufiq. Jika gurunya menjauhi dan bersikap kasar kepadanya, hendaklah ia menerima serta merasakan kesalahan itu adalah darinya, lantas mencela dirinya sendiri. Dan yang demikian itu adalah lebih bermanfaat kepadanya di dunia dan akhirat selain lebih menjadikan hati gurunya lebih lapang. Sesungguhnya mereka (para ulama) telah berkata: ”Sesiapa yang tidak bersabar di atas kehinaan semasa belajar akan kekal di dalam gelap kejahilan, sedangkan sesiapa yang sanggup bersabar akan meraih kemuliaan akhirat dan dunia”.
  • Dan di dalam atsar yang masyhur dari Ibn Abbas ra: ”Aku menempuh kehinaan menuntut ilmu lalu aku meraih kemuliaan apabila ilmu ini dituntut pula dariku”. Alangkah indah apa yang diucapkan ini: ”Sesiapa yang tidak merasakan kehinaan sesaat, akan menempuh kehinaan sepanjang zaman”.
Bersambung...

-Abu Najla-

Wednesday, May 30, 2012

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #9

ADAB PENUNTUT ILMU

Fasal: Keseluruhan apa yang telah kami sebutkan dari adab guru juga merupakan adab bagi seorang murid.

Di antara adab-adabnya yang lain adalah:

  • Menjauhi segala sebab yang menyibukkannya daripada ilmu, melainkan sesuatu yang tidak dapat tidak ia melakukannya disebabkan keperluan.
  • Hendaklah ia membersihkan hatinya dari kekotoran (penyakit hati), untuk memudahkan hatinya menerima Al Quran, menghafaznya dan memetik hasilnya. Sesungguhnya telah sahih dari Nabi SAW sabdanya: “Sesungguhnya di dalam jasad (manusia) ada seketul daging. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya dan jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah bahawa itulah hati”. Amatlah cantik apa yang diungkapkan seseorang yang berkata: “Perbaikilah hati untuk ilmu, sepertimana tanah diperbaiki (digembur) untuk menanam”.
  • Sewajarnya ia tawadhu’ kepada gurunya dan membaguskan adab dengannya, meskipun guru itu lebih muda daripadanya, atau kurang kemasyhurannya, atau biasa-biasa saja nasabnya dan kesolehannya atau seumpamanya. Hendaklah ia bertawadhu’ kepada ilmu, maka dengan tawadhu’ ia akan berhasil. Seperti untaian sebuah syair: “Ilmu itu musuh bagi pemuda yang meninggikan diri sepertimana air banjir menjauh dari tempat yang tinggi”.
  • Hendaknya ia mencontohi gurunya (pada perkara yang terpuji), berbincang dengannya segala permasalahannya (yakni: permasalahan murid itu), dan menerima kata-katanya (yang benar). Seumpama seorang pesakit yang menerima kata-kata seorang doktor yang baik lagi cerdik. Dan inilah yang utama.
  • Dan janganlah ia belajar melainkan daripada guru yang sempurna kepakarannya dan ternyata kehidupan beragamanya, tepat pengetahuannya serta diketahui penjagaan dirinya (wara’). Kerana sesungguhnya telah berkata Muhammad bin Sirin, Malik bin Anas dan selain mereka dari Salafussoleh: “Ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu”.
  • Menjadi kewajpan baginya untuk memandang gurunya dengan pandangan penghormatan, mengakui kepakarannya dan kelebihannya kerana itu akan lebih menghampirkannya untuk memetik manfaat dari gurunya.
  • Ada di antara para pendahulu kita yang apabila ia ingin pergi menemui gurunya ia akan bersedekah dengan sesuatu lantas berdoa: “Ya Allah, tutupilah aib guruku dan janganlah engkau hilangkan keberkatan ilmunya dariku”. Berkata Ar Rabi’ sahabat Imam As Syafi’e: “Aku tidak dapat untuk minum jika Imam As Syafie melihat padaku disebabkan rasa seganku dengan kehebatannya”.
  • Dan kami meriwayatkan daripada Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib ra katanya: “Di antara hak guru ke atasmu adalah engkau memberi salam kepada orang lain secara umum dan mengkhususkan salam dan penghormatan kepadanya.
  • Hendaklah engkau duduk di hadapannya dengan tidak menunjuk ke mana-mana dengan tanganmu atau mengenyit-ngenyit matamu. Atau (janganlah hendaknya) engkau berkata; “orang lain mengatakan begini dan begitu”, menyalahi apa yang dikatakan gurumu.
  • Jangan mengumpat seseorang pun di hadapannya, juga jangan berbincang dan bercakap-cakap dengan temanmu di dalam majlisnya. Jangan pula menarik bajunya jika ia ingin pergi, atau mendesaknya ketika ia tidak ingin bicara. Dan jangan pula merasa jemu akibat lamanya persahabatanmu dengannya. Seharusnya ia beradab dengan adab-adab yang telah ditunjukkan oleh Imam Ali kwj.
  • Jika ingin menemui guru, maka masuklah dengan keadaan yang paling sempurna seperti yang telah kami jelaskan pada adab guru. Iaitu dengan berkeadaan suci, bersiwak dan mengosongkan hati dari urusan-urusan yang lain.
  • Jangan masuk kepada guru melainkan dengan izinnya jika guru berada di tempat yang perlu kepada meminta izin.
  • Hendaklah memberi salam kepada hadirin ketika masuk dan mengkhususkan salam kepada guru.
  • Juga berilah salam kepadanya dan hadirin jika ingin beredar dari majlis seperti yang tertera di dalam hadis: ”Tidaklah (salam) yang awal lebih berhak dari(salam) yang kedua”.
  • Jangan melangkahi leher manusia untuk ke hadapan majlis, tetapi duduklah di mana yang kosong. Melainkan diizinkan gurunya atau ia tahu yang orang lain mengutamakannya untuk ke hadapan. Jangan pula membangunkan orang lain dari tempatnya untuk ia sendiri duduk di tempat tersebut, kerana mengutamakan dirinya atas orang lain tidaklah dapat diterima bercontohkan apa yang dilakukan Ibn Umar ra. Kecuali dengan sebab ia ke hadapan itu membawa kebaikan kepada hadirin atau gurunya memerintahkan demikian (maka tidak apa).
  • Jangan sesekali duduk di tengah-tengah halaqah melainkan kerana darurat. (tempat yang sempit contohnya).
  • Jangan pula duduk di antara dua orang yang bersahabat tanpa izin kedua-duanya. Jika mereka melapangkan baginya, bolehlah ia duduk dengan mendiamkan dirinya.
Bersambung...

-Abu Najla-

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #8

Fasal: Di antara adab yang sangat perlu diambil berat adalah janganlah ia sesekali menghina ilmu, iaitu dengan pergi ke tempat orang yang ingin menuntut ilmu, sekalipun yang ingin belajar itu adalah khalifah atau siapa jua. Bahkan hendaklah ia memelihara ilmu itu sepertimana yang dilakukan oleh para salafussoleh ranhum, dan kisah-kisah mereka tentang hal ini banyak sekali.

[ Yakni: Orang yang hendak belajar lah yang semestinya datang bertemu orang yang berilmu, bukan sebaliknya seperti yang banyak berlaku pada zaman kita ini –pent]



Fasal: Sebaiknya majlisnya adalah berkeadaan lapang untuk memungkinkan para penuntut ilmu untuk duduk.
Di dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda: ”Sebaik-baik majlis adalah yang paling lapang”.
Diriwayatkan oleh Abu Dawud di dalam Sunannya pada permulaan kitab adab dengan isnad yang sahih daripada riwayat Abi Said al Khudri ra.
Bersambung...

-Abu Najla-

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #7

Fasal: Amatlah dianjurkan kepada para guru agar bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam mengajar para pelajarnya serta mengutamakan tugasnya itu berbanding kemahuan duniawinya yang melebihi keperluan.

Dia juga hendaknya mengosongkan hatinya daripada apa-apa saja yang menyibukkannya ketika ia mulai untuk mengajar.

Serta bersungguh-sungguh agar muridnya faham apa yang diajarnya dan memberikan setiap orang apa yang layak buat mereka. Iaitu janganlah ia memberi banyak kepada yang tidak mampu menerima banyak, dan jangan pula menahan dari seseorang yang mengharapkan tambahan.

Ia juga harus menyuruh mereka mengulangkaji pelajaran mereka, memuji sesiapa yang nyata kecerdasannya selagi tidak ditakuti terjadi ujub atau yang seumpamanya.

Sesiapa yang malas hendaknya dihukum dengan hukuman yang layak dan tidak terlampau menyakitkan selagi tidak ditakuti ia akan terus meninggalkan menuntut ilmu.


Jangan sesekali merasa hasad dengan kemampuan ilmu yang tampak pada seseorang anak muridnya (bimbang jika muridnya melebihi dirinya). Jangan mengira banyak apa yang dikurniakan Allah kepada seseorang sehingga ia meremehkan apa yang telah dianugerahkan Allah kepada dirinya sendiri.

Kerana dengki dengan orang yang tiada pertalian dengannya saja sudah sangat haram, apatah lagi dengan muridnya yang berkedudukan seumpama anaknya? 

Sedangkan (jika murid itu berjaya) kebaikannya akan kembali kepada gurunya juga, di akhirat nanti dengan pahala yang berlimpah sedangkan di dunia ini dengan pujian dan sebutan yang indah-indah. Hanya Allah sahajalah Pemberi Taufik.


Fasal: Jika murid itu ramai, maka hendaklah didahulukan yang lebih dahulu datang. Jika yang datang awal merelakan untuk dikemudiankan maka bolehlah didahulukan murid yang lain.

Hendaklah ia menemui mereka dengan wajah yang ceria dan berseri-seri, mengambil tahu keadaan mereka serta bertanyakan keadaan murid yang tidak hadir.

Fasal: Berkata para ulama’: “Janganlah enggan untuk mengajar murid disebabkan niatnya yang masih tidak lurus”

Kerana sesungguhnya telah berkata Sufyan (Ats Tsauri) dan yang lainnya:
“Menuntut ilmu itu perlukan niat. Pernah dahulu kami menuntut ilmu bukan kerana Allah, namun ia (ilmu itu) enggan melainkan kerana Allah”.

Maksudnya: niat seorang penuntut ilmu itu akan beransur-ansur menjadi kerana Allah (disebabkan pertambahan ilmunya).



Fasal: Di antara adab guru lagi yang perlu dijaga adalah:- Ia tidak membiarkan tangannya bermain-main tanpa tujuan ketika sedang mengajar. Atau membiarkan matanya memandang kepada sesuatu yang tidak perlu. Dan hendaklah ia duduk di dalam keadaan bersuci, mengadap kiblat, tenang dan pakaiannya putih dan bersih.

Dan apabila ia sampai di tempat mengajar, hendaklah ia solat dua rakaat sebelum duduk, tidak kira di masjid atau bukan. Jika di masjid lebih lagi dituntut kerana makruh duduk sebelum menunaikan solat dua rakaat (tahiyyatul masjid)
Kemudan ia boleh memilih untuk duduk bersila atau selainnya.

Abu Bakar bin Abi Dawud As Sijistani meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa ia mengajar manusia membaca Al Quran di masjid dalam keadaan berteleku di atas dua lututnya (seperti duduk iftirasy di dalam solat).

Bersambung...

-Abu Najla-

Thursday, May 24, 2012

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #6

Fasal: Patutlah baginya (pengajar) untuk memberi nasihat kepada para pelajarnya, kerana Rasulullah SAW telah bersabda: 
Agama ini adalah nasihat. Kami (para sahabat) bertanya: “Untuk siapa wahai Rasulallah?”. Jawab Baginda: “Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, para pemimpin muslimin serta masyarakat muslimin seluruhnya”. 
Riwayat Bukhari dan Muslim.


Termasuk nasihat kepada Allah dan KitabNya adalah:- 
Memuliakan pembacanya serta penuntut ilmunya, menuntun mereka kepada apa yang membawa kebaikan untuk mereka, berlemah lembut kepada mereka, menolongnya untuk mendapatkan ilmu, menjinakkan hati penuntut, berlapang dada di dalam mengajar, berhemah serta memotivasikannya untuk menuntut ilmu.

Sudah semestinya seorang guru patut sentiasa mengingatkan penuntut ilmunya tentang kelebihan-kelebihan (ilmu dan menuntut ilmu) agar mereka lebih giat dan bertambah gemar kepada ilmu, lalu bertambah zuhud di dunia dan tidak tertipu dengan tipuannya.


Juga diperingatkan dengan kelebihan menyibukkan diri dengan Al Quran serta seluruh ilmu syariat, kerana ia adalah jalan para ‘arifin, hamba-hamba Allah yang solehin dan itulah martabat dan jalan yang ditempuh oleh para anbiya -selawat dan salam ke atas mereka-.

Semestinya ia mengasihi para pelajar serta mengambil berat permasalahan mereka, seumpama ia mengambil berat perihal anak-anaknya serta dirinya sendiri. 

Letakkan dirinya seolah-olah seorang bapa pada kasih sayang kepada mereka, bersabar di atas kedegilan dan kelakuan buruk mereka, memberi keuzuran terhadap kekurangan adab mereka pada sesetengah keadaan kerana manusia ini bersifat serba kekurangan, lebih-lebih lagi jika ia seorang kanak-kanak atau remaja.

Kemudian hendaklah ia menyukai untuk muridnya apa yang disukai untuk dirinya daripada kebaikan-kebaikan, serta membenci untuk muridnya apa yang ia sendiri tidak menyukainya.

Sesungguhnya telah tsabit di dalam As Sahihain daripada Rasulillah SAW bahawa Baginda bersabda:
“Tidak beriman (sempurna) seseorang daripada kamu sehingga ia menyukai untuk saudaranya apa yang ia sukai untuk dirinya sendiri”.

Dan daripada Ibn Abbas ra katanya
“Orang yang paling mulia padaku adalah teman duduk yang sanggup melangkahi manusia untuk duduk bersamaku. Seandainya aku dapat untuk tidak membiarkan seekor lalat singgah di wajahnya, pasti aku akan melakukannya”.

Di dalam riwayat yang lain: 
”Jika seekor lalat hinggap di wajahnya sahaja, itu sudah cukup untuk menyakitiku”.

Hendaknya lagi ia tidak membesarkan diri kepada para muridnya sebaliknya berlemah lembut dan bertawadhu’ kepada mereka. 


Bertawadhu’ kepada seorang manusia biasa saja sudah perlu, bagaimana pula dengan mereka yang diibaratkan seperti anak-anaknya sendiri beserta dengan kesibukan mereka dengan Al Quran dan hak persahabatan yang dimiliki oleh mereka, ditambah lagi dengan kerapnya mereka mengunjungi dan bersamanya untuk menuntut ilmu.




Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: 
“Berlemah lembutlah kamu kepada sesiapa yang kamu ajari serta sesiapa yang kamu belajar darinya”.

Dan daripada Abi Ayyub as Sakhtiyani ra, katanya:
“Sepatutnya seorang yang alim itu menaburkan tanah di atas kepalanya sebagai tanda tawadhu’ kepada Allah”.

Fasal: Menjadi kewajaran kepada pengajar untuk mendidik pelajarnya secara beransur-ansur dengan adab yang terpuji, budi pekerti yang diredhai, melatih nafsu dengan mengenali selok belok tipuannya, membekalkannya dengan perisai untuk menghadapi setiap urusannya yang zahir mahupun yang batin, menggesanya dengan perkataan dan perbuatan agar mengikhlaskan amal, bersikap benar dan memperbaiki niat serta merasakan pengawasan Allah setiap ketika.

Beritahukan kepadanya bahawa semua itu akan menjadikan dadanya lapang dan bersedia untuk menerima siraman cahaya pengetahuan dan kearifan sehingga akan terpancar di dalam hatinya mata air hikmah dan rahsia-rahsia pengetahuan lantas ia akan diberkati pada ilmunya dan keadaannya serta akan dikurniakan taufiq pada perbuatan dan perkataannya.



Fasal: Tugas mengajar adalah fardhu kifayah, jika tiada yang mengemban / mendukung tugas ini maka ia akan bertukar menjadi fardhu ain. Tetapi jika di sana ada segologan manusia yang telah menjalankan tugas ini maka memadai. Jika tiada maka seluruh masyarakat berdosa, namun jika telah ada yang melakukannya, yang lain terlepas dari beban dosa.

Sekiranya seseorang diminta mengajar lalu ia tidak mahu, maka pendapat yang terpilih di antara dua pendapat adalah mereka tidak menanggung dosanya, sebaliknya orang yang diminta mengajar itu boleh dipaksa untuk mengajar jika ia tidak mempunyai sebarang keuzuran.
Bersambung...

-Abu Najla-