Monday, January 3, 2011

LAPORAN TERLEWAT : PROGRAM CUTI SEKOLAH 2010

Salaam.

Berjumpa lagi kita di arena maya ini. Soalan yang biasa ditanya apabila menjelangnya tahun baru adalah tentang azam tahun baru lah. Jadi, admin pun ingin mengambil kesempatan juga bertanya kepada tuan-tuan dan puan-puan yang tetap setia mengunjungi blog ini dengan soalan yang sama itu.. Apa agaknya azam baru tuan puan semua pada tahun ini? Sebelum berazam baru, elok kita muhasabah semula masing-masing azam tahun lepas, dah terlaksana atau belum..

Seperti yang telah dijanjikan sebelum ini, admin akan membawakan kepada anda laporan terlewat liputan berita berkenaan Program Cuti Sekolah 2010 yang baru berlalu. Sebelum itu, admin ingin memohon maaf kerana agak lama juga blog ini dibiarkan tanpa pengisian entry-entry terkini. Bersempena tahun baru Hijrah dan Masihi yang baru menjengah ini adalah diharapkan tuan-tuan dan puan-puan adik kakak dapat mendoakan supaya blog ini akan lebih terisi, ameen.

Baiklah! Tanpa memanjangkan kalam, apa kata kita kita selak-selak bersama lembaran-lembaran laporan Program Cuti Sekolah 2010 yang lalu...

Petang 24 November 2010, bermula pukul 5.00 petang, tepatnya setelah selesai solat Asar, maka berdatanganlah para peserta dengan dihantar oleh ibu bapa dan penjaga masing-masing. Bak kata orang dulu-dulu -dengan sedikit tambahan- :

"Yang buta datang berpimpin,
yang capik datang bertongkat,
yang lumpuh datang dikendong,
yang ramai datang berkereta,
yang berdua sekadar bermotor sahaja."

Setelah selesai urusan pendaftaran, para ibubapa dan penjaga diberikan sedikit taklimat ringkas berkenaan perjalanan program oleh Mudir MTK iaitu Ust Zolkornain Bin Tan Al-Hafiz, sementara para peserta pula diminta mengisi borang matlamat dan luahan harapan mereka kepada ibubapa dalam menjalani program ini.

Usai majlis taklimat dan mengisi borang tersebut, maka tibalah waktu untuk para ibu bapa dan penjaga melepaskan anak-anak mereka untuk kini dijaga pula oleh MTK. Bayangkan esak tangis yang kedengaran di mana-mana memecahkan kesyahduan petang yang damai itu.. (saja nak bagi nampak kesan dramatik, sebenarnya tiada yang menangis pun.. Mungkin ada, tetapi pandai 'cover') ;)

Hari-hari berlalu dan para peserta semakin dapat membiasakan diri dengan rutin harian para pelajar tetap MTK yang bermula awal pagi dengan mengadap Mushaf Al-Quran hampir sepanjang hari. Pada waktu petang setiap hari mereka sama-sama beriadhah dengan bermain pingpong, melontar dart, main aci lut (hide & seek) dan macam-macam lagi berdasarkan kekreatifan masing-masing. Pagi Sabtu mereka akan ke padang berdekatan untuk bermain bolasepak, sementara pada pagi Ahad pula gotong-royong membersihkan madrasah berjalan seperti biasa.

Pada 16 Disember pula ada sedikit kejutan apabila ada ibubapa kepada beberapa peserta telah berpakat untuk mengadakan jamuan sambutan hari lahir anak-anak mereka di MTK. Dua biji kek dan nasi minyak telah dikirimkan melalui Mudir dan selamat di 'faraid' kan oleh para pelajar. Bak kata pepatah;

Hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicicah;
Membujur sapu, melintang pun sapu!

Sebelum kek dipotong, tiada upacara meniup lilin dan nyanyian "Happy Birthday to You", sebaliknya bacaan doa mengharapkan keberkatan dan kerahmatan yang dipimpin oleh Mudir sendiri dengan diaminkan beramai-ramai oleh para pelajar. Alhamdulillah..


Mudir berdoa diaminkan para pelajar



Acara memotong kek


Semakin mendekatnya hari penamat program pada yang dijadualkan pada 19 Disember menjadikan kebanyakan para peserta semakin giat untuk menghabiskan target hafalan masing-masing. Sungguhpun begitu, ada tugasan yang menanti mereka dan para pelajar tetap MTK juga bersempena 19 Disember tersebut, iaitu persembahan pentomen dan nasyid sempena majlis penutup program yang bakal disaksikan oleh ibu bapa dan jemputan khas. Dengan demikian, mereka juga begitu bersungguh-sungguh berlatih hampir setiap hari selama seminggu pada waktu-waktu luang dan selepas kelas pada waktu malam.


Perbincangan hangat! Topiknya? Pentomen..



Sessi latihan nasyid

Alhamdulillah, pada 19 Disember yang cerah, sekitar jam 11.30 pagi, para ibubapa dan jemputan telahpun memenuhi ruangan dalam madrasah, sementara di lapangan tempat permainan para pelajar sehari-hari telah tersusun kemas kerusi dan meja tempat semua bakal menjamu selera sebentar nanti. Oh ya! Bersempena majlis penutup ini juga, pihak MTK telah menyediakan masak kurma kambing special sumbangan seorang sahabat yang mewakilkan aqiqah anaknya. Persiapan untuk majlis berjalan dengan lancar sekali dengan semua pelajar, peserta, yakni Warga MTK seluruhnya turun tangan bahu membahu bagi menjayakannya. Setiap orang memainkan peranannya masing-masing.

Majlis bermula dengan bacaan "Surah Ar-Rahmaan" oleh seorang peserta iaitu adik Alif Azamuddin bin Azwari, setelah dipersilakan oleh Pengerusi Majlis iaitu adik Mohd Yasir bin Amiruddin. Setelah itu, Mudir pula dijemput menyampaikan sepatah dua kata sebelum majlis bersambung dengan persembahan nasyid oleh para pelajar tetap MTK mengalunkan "Sebelum Terlena" dendangan asal Kumpulan Hijjaz. Mujur juga tiada yang terlena dengan alunan merdu nasyid tersebut! ;) Kemudian para pelajar peserta program pula mengambil tempat mengalunkan "Solawatan" nyanyian asal Wali Band dalam versi nasyid akustik yang tersendiri diiringi ketukan dabaka.


Bicara Pengerusi (bukan Bicara Mufti)

Selesai dendangan nasyid tersebut, pentomen oleh para pelajar peserta program dengan beberapa orang pelajar tetap MTK selaku pelakon undangan pun bermula. Ia mengisahkan bagaimana seorang remaja agak nakal bernama Faiq yang dipaksa oleh ayahnya untuk menyertai Program Cuti Sekolah di MTK. Dia mengikut saja walaupun hatinya membantah. Ketagihannya bermain video game telah membawanya merancang untuk 'fly' dari madrasah untuk ke cyber cafe pada waktu malam. Namun oleh hasutan rakan barunya yang turut tidak selesa menyertai program di MTK bernama Fais, dia akhirnya termakan hasutan si Fais yang mengajaknya lari dari madrasah untuk terus balik ke rumah.

Malang tidak berbau, semasa di dalam perjalanan, mereka bertemu pula dengan dua orang samseng jalanan yang cuba memeras ugut mereka. Berang apabila tidak mendapat apa yang dimahukan, dua samseng tersebut bertindak membelasah Faiq setelah Fais terlebih dahulu berjaya melarikan diri dari tempat kejadian. Sementara itu, di madrasah, Ust Mail yang merasa risau apabila Faiq dan Fais yang meminta kebenaran untuk ke tandas tidak balik-balik ke kelas kitab yang sedang berlangsung telah menyuruh Udin mencari mereka. Terkejut dengan perkhabaran yang dibawa Udin bahawa Faiq dan Fais kemungkinan telah melarikan diri lantas membuatkan Ust Mail serta merta menamatkan kelas dan mengajak beberapa pelajar yang besar mengikut beliau mencari mereka berdua.

Akhirnya Ust Mail dan para pelajar yang bersamanya terserempak dengan Faiq yang sedang teruk dibelasah lalu beliau segera menghentikan hal tersebut sambil menasihati dua samseng yang kebetulan salah seorang darinya adalah anak kepada kawan beliau. Setelah kejadian itu, Faiq benar-benar terharu dan insaf dengan budi baik yang telah ditunjukkan oleh para pelajar madrasah yang tidak disenanginya sebelum ini, sedangkan Fais yang disangkanya kawan yang baik itulah yang meninggalkannya di saat kesulitan; lantas peristiwa tersebut menjadi titik tolak Faiq berubah menjadi peserta program yang tekun sehingga berjaya menghafal setengah juzuk 30 daripada asalnya tergagap-gagap membaca.

Demikianlah pentomen bertajuk "Keinsafan" tersebut yang diakhiri dengan nasyid "Rintihan Pada Ayah dan Ibu" dendangan beramai-ramai semua peserta program. Alhamdulillah, walaupun hanya mengambil masa selama seminggu latihan, namun persembahan yang dipertontonkan amatlah membanggakan. Syabas buat semua!

Penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta pula berlangsung sebaik sahaja selesai pentomen dipentaskan.

Sebagai meraikan perpisahan antara para peserta program dan para pelajar tetap MTK, sebuah nasyid perpisahan menjadi penutup tirai majlis pada hari itu. Setelah itu semua hadirin beredar menikmati hidangan makan tengahari bersama-sama. Seterusnya ada yang beredar pulang setelah bergambar dan ada juga yang menunggu sehingga selesai solat zohor berjemaah sebelum bergerak pulang.


Acara makan berjemaah sebelum solat berjemaah


Akhir kata, pihak admin mewakili pengurusan MTK mengucapkan tahniah dan jazakumuLLahu khairan katsira kepada semua yang menjayakan program ini. Album gambar dan rakaman video sekitar program boleh disaksikan di dalam Facebook MTK dengan mengklik badge FB di sebelah kanan blog ini atau KLIK DI SINI dan sign in seterusnya menjadi friend FB MTK. Gambar dan video akan diupload dari semasa ke semasa insyaAllah.

Jumpa lagi dalam program cuti sekolah hujung tahun 2011 akan datang, insyaAllah..

Wassalaamu'alaikum.



[ al-findani, MTK, 3/1/2011, Isnin, 8.20pm ]