Thursday, August 5, 2010

KENDURI MENYAMBUT RAMADHAN DI TASEK CHEMPEDAK

Salaam.

Bertemu lagi kita di alam maya ini. Kali ini admin akan membawakan siaran tertunda Majlis Kenduri sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al Mubarak yang telah berlangsung di Masjid Kg Tasek Chempedak, Simpang Ampat SPU pada 31 Julai baru-baru ini.


Majlis ini telah dijayakan secara gotong-royong dengan penglibatan pelajar-pelajar MTK bersama para penduduk kampong. Bermula petang Jumaat 30 Julai lagi, sebahagian para pelajar MTK telah bertolak ke Tasek Chempedak bagi memulakan kerja-kerja melapah daging dan memasang khemah serta memasak lauk pada sebelah malamnya. Seekor lembu telah ditumbangkan bagi menyediakan juadah buat santapan para jemputan.


Sekitar jam 11.30 pagi, majlis dimulakan dengan ceramah oleh Al Fadhil Ustaz Mohd Lutfi bin Ariffin daripada Madrasah Nurul Hidayah, Tembak, Kuala Ketil. Usai ceramah, para tetamu beredar ke bawah khemah bagi menikmati jamuan yang masih panas dan sedia terhidang ( gambar para jemputan menikmati hidangan tidak sempat diambil, kerana jurugambar sibuk dengan kerja-kerja menghidang ;) ).


Bersilih ganti tetamu datang dan pulang sehinggalah masuk waktu zohor dan solat berjemaah didirikan. Khemah dan peralatan dikemaskan selepas melihatkan tiada lagi tetamu yang datang setelah solat zuhur.


Penganjuran majlis seperti ini menghidupkan kembali budaya bergotong royong yang kita lihat semakin pupus diasak budaya baru penyediaan kenduri kendara dengan khidmat caterer. Di samping itu, ia juga menjadi medan buat para pelajar MTK belajar menyesuaikan diri dengan kerja-kerja kemasyarakatan sebagai bekal untuk mereka di masa hadapan supaya tidaklah mereka menjadi para huffaz yang sekadar tahu berinteraksi dengan mushaf, namun kekok apabila bermasyarakat akibat tiadanya pendedahan semasa zaman remaja.


Apapun, syabas diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan majlis tersebut, terutamanya Chef de Mission, Pak Teh Idris yang menjadi Komanden memantau dan menguruskan dari awal hingga akhir majlis tersebut.


Berikut adalah gambar-gambar sekita majlis yang sempat dirakamkan oleh Firdaus, jurukamera amatur MTK. Lagi gambar akan diupload kemudian disebabkan liputan broadband yang mengecewakan. ( sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas )














































Sedih mengenangkan lembu yang terkorban








No comments: