Tuesday, August 10, 2010

APA?!! KALIMAH ALLAH PADA SANDAL CROCS?


Salaam..


Kebelakangan ini terdapat imej-imej yang bertebaran di dunia maya tanpa sempadan menunjukkan lafaz ALLAH pada lambang CROCS. Pada mulanya saya (admin blog ini) merasakan tidak perlu untuk menanggap hal-hal yang sebegini, namun apabila melihat penyebarannya makin ketara, maka rasanya perlu juga mengutarakan pendapat mengenainya.

Apakah benar lambang buaya pada selipar itu dimaksudkan dengan kalimah ALLAH? Saya katakan, ini semua adalah dakwaan yang tidak berasas dan sikap mengada-ngada dan melampau yang timbul dari jiwa yang miskin. Atau ringkasnya boleh dikatakan PARANOID. Mereka yang memiliki perasaan ini mempunyai satu gambaran di dalam mindanya yang sempit itu, lalu setiap yang dilihatnya akan dilencongkan bagi menepati gambaran yang sedia diprogramkan di dalam otaknya tadi.

Sudah banyak kes seperti ini yang disebarkan kepada umum, seperti suatu waktu dahulu dikatakan kalimah ALLAH pada logo singa susu F&N, kemudian tulisan Coca Cola yang diterbalikkan menjadi La Muhammad La Makkah, tanda salib di sejadah dan lain-lain lagi. Kita menentang jika memang benarlah sengaja ditulis terang-terangan seperti yang dimaksudkan, tetapi dalam kes sebegini, didapati semuanya adalah dakwaan yang timbul dari rasa PARANOID itulah. Jangan nanti ada pula yang sampai menyarankan agar ditukar tanda jalan menunjukkan simpang empat di hadapan pula kerana ia terang-terangan berupa salib!

Hal ini samalah juga seperti orang yang dikuasai rasa takut kepada hantu, lalu setiap kejadian yang berlaku akan dikaitkan dengan hantu. Langsir yang bergerak ditiup angin, bunyi kipas berkeriut, bunyi cicak dan entah apa-apa lagi disangka hantu punya kerja. Atau juga seperti orang yang taksub dengan gangguan makhluk halus, lalu sakit perut akibat salah makan pun akan disangka ada yang berniat jahat cuba menghantar santau!


Ini jugalah yang melanda non-muslim di Eropah dan Amerika, iaitu yang dinamakan Islamophobia. Lantas apa sahaja yang bernama Islam, atau dikaitkan dengan Islam, maka segera disinonimkan dengan keganasan. Tentunya kita tidak gembira dengan hal tersebut, kerana kita sebagai umat Islam amat tahu bahawa agama ini datang membawa damai. Tetapi bagaimanakah kita boleh tidak suka dengan perkara tersebut sedang dalam masa yang sama kita sendiri menyuburkan sikap yang serupa di dalam diri kita.


Kembali kepada lambang ALLAH pada selipar Crocs tersebut, apakah benar seperti yang dikatakan? Jawapannya, karut semata! Hendaknya orang yang menyebarkannya berhenti daripada perbuatan bodoh tersebut, dan tidak akan mempercayainya melainkan orang yang setaraf pemikiran dengan penyebar itu juga. Juga diharapkan agar umat Islam tidak lagi menjadikan kotak minda mereka seumpama tong sampah yang boleh dicampakkan apa saja maklumat-maklumat sampah ke dalamnya. Wallahua’lam.

No comments: