Tuesday, August 14, 2012

Amal Soleh dan Salah Faham Mengenainya.

Assalamualaikum.

Selamat menjalani ibadah puasa buat para pengunjung semua. Sempena sepuluh hari dan malam terakhir Ramadhan ini, marilah kita semua mempertingkatkan amal soleh mudah-mudahan Allah akan menyenaraikan kita bersama mereka yang mendapat anugerah pelepasan daripada neraka.

Seharusnya kita tidak menyempitkan minda kita dengan memahami takrifan amal soleh dengan skop yang sempit seperti solat sunat dan membaca Al-Quran semata-mata. Ini kerana Admin melihat demikianlah pemahaman kebanyakan kalangan masyarakat.

Amal soleh seharusnya difahami dengan konteks yang lebih luas cakupannya. Menghindari yang ditegah itu amal soleh, menjaga lidah dan perilaku itu amal soleh. Berakhlak mulia, sabar, menolong orang lain, memudahkan urusan orang lain, bertimbang rasa di jalan raya, melakukan kerja atau tugasan kita dengan penuh itqan dan banyak lagi jika hendak disenaraikan; semuanya itu dikategorikan sebagai amal soleh.

Kegagalan melihat amal soleh dalam konteks yang luas inilah akan menyebabkan seseorang itu mungkin berjaya khatam Al-Quran dua kali di bulan Ramadhan, tetapi lidahnya tidak dijaga dari mengumpat dan ungkapan-ungkapan kotor. Mungkin solat tarawihnya dan tadarusnya setiap malam, ditambah lagi dengan Tahajud dan Dhuha, namun curi tulang dan sambil lewa di tempat kerja. 

Seorang peniaga mungkin bersolat dengan tertibnya Masya Allah!, berwirid dan berzikir panjang selepas solat, selepas itu bersolat Rawatib pula, tetapi keluar daripada masjid berniaga tanpa kejujuran, menipu pelanggan, menyembunyikan kecacatan barang jualan dan sebagainya yang ditegah agama.

Islam hanya dilihat pada penampilan semata-mata, Allah hanya di tikar sejadah dan di masjid, ibadah dijadikan acara dan upacara, maka Islam menjadi tidak ubah seperti agama yang telah difahami oleh Yahudi dan Kristian. 

Mengapa kita melihat masjid penuh pada solat Jumaat, solat sunat Dua Hari Raya, dan solat tarawih bulan Ramadhan? Mengapa kita melihat berbondong-bondong umat Islam menziarahi kubur pada pagi Hari Raya? Jawapannya adalah kerana ibadah-ibadah di dalam agama ini sudah difahami dan dianggap sebagai suatu acara dan upacara, bukan lagi ibadah dengan pengertian yang sebenar-benarnya.

Semoga tulisan ini sedikit sebanyak dapat mengetuk kotak fikir kita tentang kelalaian kita memahami dan menghayati pengertian ibadah selama ini. Harapannya agar kita menjadi umat yang lebih mampu untuk beribadah kepada Allah dalam pengertian yang lebih luas dan kembali mampu memikul tugas sebagai seorang hamba sekaligus khalifahNya mengurus dunia ini sebagai ladang akhirat. 

Wassalam.


~Abu Najla~

No comments: