Wednesday, May 4, 2011

SALAH FAHAM YANG WAJAR DIRENUNG KEMBALI. (1)

Salaam.

Semua manusia -secara fitrahnya- menginginkan kebaikan. Pemimpin yang baik menginginkan kebaikan untuk rakyatnya. Rakyat menginginkan kebaikan daripada pimpinannya. Suami mengharapkan kebaikan daripada isterinya. Si isteri turut mengharapkan kebaikan daripada suaminya.Ibu bapa menginginkan kebaikan kepada anak-anaknya. Guru-guru mendambakan kebaikan untuk anak didiknya. Dan begitulah seterusnya.

Bertitik tolak daripada itu, ada di antara ibu bapa yang mungkin kini sudah kembali menapak ke pangkal jalan setelah sebelumnya tersasar haluan mengharapkan anak-anak mereka tidak turut kesasaran seperti mereka. Dan kita mengucapkan kesyukuran kepada Allah atas hal itu. Alhamdulillah.

Kita contohkan bapa; -yang sudah beroleh kesedaran itu tadi- melihat ke dalam dirinya, lalu ia merasa di sana wujud kekurangan-kekurangan, lantas bersingsing tanganlah ia menampalnya. Selama ini mungkin ia seorang yang culas sembahyang, maka kini ia mula giat bersolat. Tidak sekadar yang fardhu, malah yang sunat pun dilakukannya bersungguh-sungguh. Jika dahulu mungkin ia tidak kisah berseluar pendek, maka kini tiada lagi dalam kamus hidupnya untuk berseluar pendek ke sana ke mari. Pakaian sudah berganti, kalau jubah terlalu drastik, mungkin bersarung kurta setiap hari. Kopiah juga sudah tidak lekang dari kepala. Alhamdulillah. Surau, yang dahulu tangganya pun mungkin tidak pernah dipijaknya kini dialah pengunjung tetapnya. Bahkan menjadi pembentang sejadah dan kerapkali pula berazan menggantikan bilal yang selalu terlewat datang. Begitulah...

Seterusnya si bapa ini; ia melihat pula ke dalam keluarganya. Pertama-tama, dilihatnya isterinya. Kalau dahulu freehair sahaja, kini dipaksanya bertudung. Bertudung bukan sekadar biasa-biasa, tetapi labuh dan mungkin berpurdah juga. Si isteri yang mulanya ingin mengunjuk rasa akhirnya memendam sahaja akibat veto suami. Namun jauh di sudut hatinya tersembunyi ketidakpuasan hati. Si suami ini seterusnya memandang pula anak-anaknya. Suasana rumahnya ingin ditukar 180 darjah. Dan seterusnya, dan seterusnya...

Semangatnya membara, semua yang tidak berbau Islamik -dalam pandangannya- ingin diubahnya serta merta. Namun, ia lupa suatu perkara! Semangatnya tidak dipandu ilmu yang sebenarnya. Lalu jadilah Islam di tangannya sesuatu yang indah zahirnya, namun berulat isinya. Semangat yang menyala-nyala tanpa ilmu akan membawanya meletakkan hukum berdasarkan semangatnya sahaja. Yang sunat menjadi wajib. Yang harus pun diharamkannya. Dan sebahagian perkara harus yang lain sehingga diwajibkannya pula. Aduh! Sehingga orang yang tahu sedikit-sebanyak pun dibikin pening jadinya! (Bersambung..)


No comments: