Saturday, July 4, 2009

LAUNGAN AZAN DAN PENGHORMATAN KITA TERHADAPNYA



Sewaktu kita masih kecil dahulu kita mungkin pernah menghadapi peristiwa dimana ibu bapa atau guru-guru kita menyuruh kita berdiam diri apabila laungan azan kedengaran berkumandang. Namun apabila kita makin membesar dan kesibukan semakin bertambah, laungan azan yang hanya berkumandang sebanyak 5 kali sehari itu mungkin terkadang terjadi tatkala kita sedang memperkatakan sesuatu yang penting, atau berbincang tentang hal-hal yang mustahak, atau mengendalikan satu urusniaga yang bernilai ratusan ribu RM atau 1001 macam lagi..

Lantas kita merasakan laungan azan itu sesuatu yang tidak penting untuk diendahkan, bahkan lebih teruk lagi ( na’uzubiLLAH ) merasakan ianya sebagai suatu gangguan.Lalu kita membiarkan azan tanpa berdiam diri menghormatinya, menjawabnya dan berdoa selepasnya. Tulisan ini tidak berhasrat menaburkan dalil-dalil tentang fadhilat azan, fadhilat menjawabnya dan seumpamanya, tetapi ia hanya bertujuan menyuntik sedikit kesedaran tentang kelekaan kita selama ini pada sesuatu yang kita mungkin tidak pernah memperhati dan memikirkannya. Mari kita sejenak berfikir….

Untuk siapakah azan itu dilaungkan? Apakah ianya untuk binatang dan tumbuhan ataukah untuk kita? Jika jawapannya untuk kita, maka mengapakah kita selama ini tidak mempedulikannya dengan terus bercakap-cakap, bergelak ketawa dan sebagainya. Bahkan jika kita sedang membaca Al Quran sekalipun kita diajar untuk memberhentikan sebentar bacaan bagi menjawab azan, demikianlah seperti dikatakan oleh Imam An Nawawi di dalam At Tibyan fi adab Hamalatil Quran.


Dapat dikatakan bahawa setiap Negara di dunia ini mempunyai lagu kebangsaannya masing-masing. Apabila lagu kebangsaan seperti Negaraku contohnya dimainkan, setiap rakyat perlu menghormatinya, bahkan disuruh berdiri lagi! Sesiapa yang tidak melakukannya dikira sebagai warganegara yang tidak beradab. Sesungguhnya kalimah-kalimah azan lebih agung untuk dibandingkan dengan bait-bait lagu kebagsaan tersebut, lalu dimanakah penghormatan kita kepadanya?!

Mari kita perhatikan situasi ini. Katakanlah kita sedang berbual dengan kenalan atau jiran kita yang non-muslim, tiba-tiba azan berkumandang, lantas kita serta merta berdiam diri dan menjawab azan, sudah pasti ia akan menyuntik pertanyaan di dalam hati non-muslim itu dan jika ia bertanya, maka itulah peluang kita bagi menyampaikan dakwah kita secara berhikmah kepadanya.

Rasanya cukup sekadar ini sahaja dahulu entry kali ini. Semoga tulisan ini menjadi satu ingatan kepada kita semua tentang keagungan azan dan betapa perlunya kepedulian kita kepadanya. Sesungguhnya peringatan itu berguna bagi orang yang beriman… Wassalam.


No comments: