BERSEMANGAT MENUNTUT ILMU
Di antara adab yang pasti adalah:
- Bersemangat menuntut ilmu, berterusan menuntutnya
pada setiap ketika dan kesempatan. Tidak merasakan cukup dengan
sedikit ilmu jika ia berkemampuan mendapat lebih banyak. Tidak
membebankan dirinya di luar kemampuan sehingga melemparkan dirinya
dari medan ilmu disebabkan jemu. Dan tidak wajar baginya
menyia-nyiakan apa yang telah diraihnya. Dan ini semua berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain disebabkan perbezaan karektor dan keadaan.
- Apabila ia datang ke majlis gurunya lalu ia tidak mendapatinya, lazimkanlah diri menunggu di pintu guru
agar ia tidak luput daripada memperdengarkan bacaannya. Kecuali ia
tahu yang gurunya tidak menyukai (menunggu) ditambah pula menjadi
kelaziman syeikh untuk menyemak pada waktu-waktu tertentu sahaja
(mengikut jadual yang tetap).
- Jika ia mendapati gurunya sedang tidur, maka jangan pula mengejutkannya,
tetapi bersabarlah menunggu sehingga ia bangun atau selesai, atau
ia pergi sahaja tanpa menunggu. Tetapi bersabar menunggu itulah
yang lebih utama sepertimana yang dilakukan oleh Ibn Abbas dan
selainnya dari para ulama.
- Hendaknya seseorang bersungguh-sungguh mengambil kesempatan
menuntut ilmu ketika waktunya masih lapang, kemahuannya masih
tinggi,badannya masih kuat, fikirannya masih jernih dan
kesibukannya masih kurang sebelum tibanya penghalang-penghalang dan
sebelum ia mempunyai kedudukan. Berkata Amirul Mukminin Umar bin
Al Khattab ra: ”Tafaqquhlah (tuntutlah ilmu agama) sebelum kamu diangkat menjadi ketua”.
Maknanya; Bersungguh-sungguhlah menyempurnakan kepakaran kamu
semasa kamu masih seorang pengikut sebelum kamu menjadi pemimpin
(orang yang diikuti). Ketika itu kamu akan terhalang untuk belajar
dikeranakan ketinggian kedudukan kamu tersebut, ditambah banyaknya
kesibukan-kesibukan kamu sebagai ketua (sehingga tiada lagi
kesempatan masa lapang untuk kamu belajar). Dan inilah makna
perkataan Imam As Syafie ra: ”Belajarlah sebelum kamu memimpin, kerana apabila kamu memimpin, tiada ruang lagi buat kamu untuk belajar”.
- Hendaklah ia berpagi-pagi untuk membaca kepada gurunya kerana sabda Nabi SAW: ”Ya Allah, berkatilah umatku pada awal pagi mereka”.
- Haruslah ia menjaga apa yang telah dihafalnya, dan tidak wajar untuk ia mengutamakan orang lain ketika gilirannya telah tiba kerana mengutamakan orang lain di dalam hal kedekatan kepada Allah adalah makruh, berbeza dengan mengutamakan orang lain di dalam urusan peribadi kerana ia disukai. Jika gurunya melihat patut mengutamakan orang lain, lalu mengisyaratkan sedemikian, maka hendaklah ia patuh.
- Wajiblah baginya untuk tidak berhasad dengki dengan seorang pun daripada temannya disebabkan kurnia Allah kepada mereka.
- Juga janganlah ia merasa ‘ujub (bangga diri/”bajet”) dengan anugerah Allah kepadanya, seperti yang kami telah jeaskan sebelum ini di dalam adab guru.
Cara untuk menghindari ujub adalah:
- Dengan menyedari bahawa semuanya adalah anugerah Allah, bukannya dengan kepandaian dan kehebatan hafalannya.
- Menyedari bahawa semua itu adalah pinjaman dari Allah semata.
Jalan untuk menepis hasad dengki pula adalah:
- Mengetahui
bahawa Allah mempunyai hikmah tersendiri menempatkan kurniaNya
kepada seseorang, maka janganlah ia membencinya pula.
Bersambung...
-Abu Najla-