Tuesday, July 5, 2011

LAWATAN KE LADANG ANGGUR TASIK BERIS

Salaam.


Bertepatan tarikh ulangtahun peristiwa Isra' wal Mi'raj lalu, iaitu pada hari Rabu 29 Jun 2011, pihak MTK telah memanfaatkan hari cuti tersebut dengan membawa kesemua para pelajarnya melawat ke sebuah ladang anggur di Tasik Beris di dalam Daerah Sik, Kedah.


Sekitar jam 7.45 pagi Rabu tersebut, dua buah van yang memuatkan para pelajar MTK di dalam perutnya laju membelah kedinginan pagi menuju ke destinasi dengan diekori rapat oleh sebuah MPV yang membawa Mudir MTK bersama ahli keluarganya. Lawatan ini juga turut disertai 2 orang lagi guru pengiring, Pak Teh ( Abg kepada Ust Zol ) dan saudara Mukhlis yang bertindak sebagai jurugambar.



Di ladang tersebut, para pelajar hanya sekadar berjalan memerhati keadaan ladang yang saujana itu, kerana perbuatan memetik anggur tidak dibenarkan oleh pihak pengurusan ladang. Para pelajar berada di sana selama hampir dua jam sahaja. Balik dari melawat ladang anggur, mereka singgah pula di Pusat Pengajian Pondok Ustaz Adnan Sungai Karangan, Kulim, Kedah.

 Bertolak pulang semula ke madrasah setelah selesai solat Zohor.

Kredit kepada saudara Mukhlis a.k.a Retrowan Sufi atas snapshot yang sungguh menawan dan menikam kalbu. :)



Friday, July 1, 2011

TAZKIRAH JUMAAT

RISALAH BERHIKMAH PADA MENYATAKAN HUKUM BERSOLAT KETIKA KHUTBAH

Sabda Nabi SAW: “Apabila salah seorang kamu datang ke masjid ketika khatib sedang berkhutbah, maka hendaklah ia bersolat  dua rakaat dengan meringkaskannya” [ Muslim, Abu Dawud]
Berkata Imam An Nawawi mengulas hadith di atas: “Ini adalah nas yang tidak dapat ditakwilkan lagi ( jelas maknanya ). Dan aku tidak merasa bahawa ada seorang alim yang sampai kepadanya lafaz ( hadith) ini serta menganggapnya sahih akan mengatakan sebaliknya” [ Fathul Baari, jilid 3 m/s 76 ]
Melalui hadith di atas dan hadith-hadith yang lain serta kata-kata Imam Nawawi tersebut, maka dapatlah difahami bahawa sesiapa yang BARU MASUK KE MASJID diperintahkan untuk bersolat sunat 2 rakaat yang ringkas samaada Tahiyyatul masjid ataupun sunat Qabliah Jumaat ( jika mengikut pendapat ulama mazhab Asy Syafi’e), sekalipun ketika khatib sedang berkhutbah. Hukumnya adalah SUNAT.

Sekarang, mari kita lihat apakah pula hukum bagi orang yang SUDAH HADIR  di dalam masjid mengerjakan solat ketika khatib sudah di atas mimbar. Berikut adalah sejumlah keterangan yang dinukil daripada kitab-kitab muktabar mazhab Asy Syafi’e.

1.       “ Dan MAKRUH TAHRIM walaupun bagi orang yang tidak wajib baginya Jumaat, setelah duduknya khatib di atas mimbar, sekalipun ia tidak mendengar khutbah, melakukan solat fardhu walaupun solat yang ia tertinggal lalu diingatnya ketika itu yang mana pada hukum asalnya solat tersebut hendaklah ditunaikan segera apabila teringat, atau solat sunat; walaupun sewaktu doa kepada pemerintah (di dalam khutbah). Pendapat yang awjah (terpilih) ialah  solat itu (jika dikerjakannya) TIDAK SAH, seumpama (hukum) solat di dalam waktu yang dimakruhkan, bahkan lebih utama lagi (dihukumkan makruhnya). Dan wajib bagi orang yang sedang bersolat untuk meringkaskan solatnya sekadar melaksanakan apa yang perlu (rukun solat) ketika khatib telah duduk di atas mimbar.”  [ Fathul Mu’in, fasal Solat Jumaat, m/s 68 ]

2.       “Dan HARAM atas orang yang hadir di dalam masjid mengerjakan sembahyang kemudian daripada khatib sudah duduk di atas mimbar dan jika tiada ia mendengar akan khutbah sekalipun.” [ Sabilal Muhtadiin, Jilid 2, m/s 52 ]

3.       “Selain daripada tahiyyatul masjid (atau Qabliah Jumaat mengikut ulama mazhab Asy Syafi’e) adalah DIHARAMKAN solat dengan sebab naiknya khatib ke mimbar, sekalipun ia belum berkhutbah..”  [ Al Fiqhul Islami Wa Adillatuh, Jilid 2 m/s 1314 ]

4.       “maka HARAM orang yang sudah hadir di dalam masjid, lagi TIADA SAH ia sembahyang sunat atau fardhu tatkala khatib membaca, samaada sudah diperbuat sunat itu dahulu daripada khutbah atau belum lagi diperbuatnya.”  [ Matla’al Badrain, akhir Bab Solat Jumaat, m/s 47 ]


Pecahan masalah


Sekarang mari kita lihat situasi yang seringkali berlaku di masjid-masjid ketika hari Jumaat di mana seseorang masuk ke masjid ketika AZAN KEDUA berkumandang dan khatib sudahpun berada di atas mimbar.  Lalu kita dapati orang tersebut akan berdiri menunggu sehingga habisnya azan dan setelah itu apabila khatib berdiri memulakan khutbahnya, ia pula bertakbiratul ihram untuk bersolat!

Jika kita merujuk kembali keterangan-keterangan yang telah dikemukakan sebelum ini, nyatalah bahawa solat yang dilakukannya adalah HARAM atau sekurang-kurangnya MAKRUH TAHRIM dan TIDAK SAH.
Seandainya ada yang beralasan bahawa orang tersebut dikira baru masuk ke masjid kerana ia belum duduk, maka alasan ini adalah dangkal dan tidak dapat dijadikan hujjah sama sekali. Ini kerana masa yang diambilnya untuk menunggu habisnya azan adalah mencukupi untuknya menyelesaikan dua rakaat yang ringkas. Demikian juga dari segi adatnya, orang tersebut dikira sebagai orang yang TELAH HADIR dan bukannya baru hadir berdasarkan lamanya berdiri di dalam masjid itu.

Jika ada yang mengatakan, dia perlu menjawab azan! Maka kita katakan, menjawab azan itu hukumnya sunat dengan kesepakatan ulama, sedangkan diam mendengar khutbah itu wajib mengikut pendapat sebahagian ulama. Dan tidaklah wajar untuk melakukan sesuatu yang sunat yang mengakibatkannya jatuh kepada yang haram atau sekurang-kurangnya makruh tahrim.

Mungkin asal kepada kekeliruan ini adalah apabila ada si fulan  yang melihat si A masuk ke masjid ketika AZAN PERTAMA berkumandang, dan  si A itu berdiri menjawab azan kemudian lalu bersolat. Lantas si fulan ini yang beramal secara ikut-ikutan tanpa ilmu menyangka tiada bezanya berdiri ketika azan pertama dan azan kedua lalu meniru perlakuan si A pada azan yang kedua. Kemudian perkara tersebut ditiru pula oleh orang lainnya sehingga meratalah dan teradatlah kekeliruan tersebut.  Sehingga kita menyaksikan orang yang melakukan hal tersebut dianggap benar, sedangkan orang yang melakukan yang sebenarnya pula dipandang tidak memahami agama. Allahul musta’aan.

Penyelesaiannya

Secara ringkasnya, apa yang patut dilakukan oleh orang yang masuk ke masjid KETIKA AZAN KEDUA berkumandang adalah TERUS MENUNAIKAN SOLAT 2 RAKAAT YANG RINGKAS TANPA PERLU MENUNGGU SEHINGGA HABISNYA AZAN berdasarkan keterangan-keterangan yang telah dijelaskan di atas



Semoga risalah yang ringkas ini bermanfaat untuk penulisnya serta sesiapa yang membaca dan menyebarkannya dan menjadi bekalan yang berguna di hari yang tiada berguna anak pinak dan harta benda, kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. Ameen.

Selesai pada 28 Safar 1432 / 2 Februari 2011, Rabu, 6.50 petang



Monday, May 23, 2011

SALAH FAHAM YANG WAJAR DIRENUNG KEMBALI - (2)

BERSABAR MENUNGGU HASIL


Firman Allah Ta'ala: "Dan adalah manusia itu bersifat sangat tergesa-gesa."

Merenung kehidupan insan, maka akan ternampaklah jelas pada kita akan kebenaran maksud firman Allah di atas. Di sana sini, manusia atas sifat tergesa-gesa tersebut, sering sahaja terperosok kakinya ke jerangkap samar kedosaan dan kemaksiatan akibat inginkan keuntungan yang segera di dunia ini.

Kita dapati ada yang sanggup sehingga menjual kehormatan diri, meranapkan maruah orang lain, menyalakan api sengketa, mengumpat dan mencaci maki, berdusta dan pelbagai lagi yang mana jika orang yang mempunyai sedikit bara api kesedaran beragama di dalam hatinya pastilah akan merasa sempit dadanya memikirkan hal tersebut. Apa yang sedang kita bicarakan ini adalah apa yang berlaku di dalam masyarakat umat Islam sendiri.

Kesemua gejala yang nampak pada luaran ini adalah berakar umbi daripada penyakit dalaman yang telah dikhabarkan oleh Rasul Junjungan dengan dinamakan ia sebagai penyakit Al-Wahn, iaitu penyakit cintakan dunia dan bencikan mati. Wabak ini akan merosakkan mata hati seorang Muslim sehingga membutakannya daripada melihat kehidupan akhirat yang jauh lebih baik dan menguntungkan lagi kekal abadi.

Demikianlah kita melihat bagaimana manusia sanggup bersabar menempuh kesusahan dan menanggung jerih payah kerana menanti dan mengharapkan keuntungan duniawi yang ia dapat merasai atau ia dapat melihatnya dengan mata kepala di dunia ini. Manusia sebegini tidak kisah sanggup berhabis wang ringgit dan menghambur tenaga pada apa yang ia lakukan itu kerana hasrat dan keuntungan duniawi yang ia bayangkan tersebut sentiasa bermain-main di mindanya dan seolah-olah sentiasa terpampang di layar matanya.

Kemegahan, harta yang bertumpuk, rumah yang besar, kereta yang menjalar, kedudukan di dalam masyarakat, pujian dan sanjungan manusia, perniagaan yang berjaya, karier yang berpangkat tinggi, kepetahan dalam berbicara dan berpidato sehingga memancing hati-hati manusia lalu menempatkannya lebih tinggi daripada orang lain, dan sebagainya ini adalah antara perkara-perkara yang memotivasikan manusia yang di dalam hatinya terdapat penyakit Al-Wahan ini. Ini kerana semua itu adalah perkara yang nampak, dan cepat pula akan diraih.

Namun, ganjaran pahala, keluasan syurga dengan mahligai-mahligainya, bidadari-bidadari dan para pelayannya, naungan yang mendamaikan, udara yang menyenangkan, hembusan wangian syurgawi yang semerbak, pepohonan yang saujana, nyanyian unggas dan irama merdu yang menawan, aliran sungai yang gemersik, dan segalanya lagi yang mana jari akan patah dan minda akan lelah jika saya ingin terus menaipnya, dan di atas semua nikmat tersebut iaitu nikmat memandang Wajah Allah Ta'ala yang Maha Suci untuk diserupakan dengan suatu apa pun; dengan kesalnya dapat kita katakan tidak memberi bekas keyakinan melainkan sedikit sekali pada hati mereka yang terhinggapi penyakit Al-Wahan tersebut. Kerana apa? Ya! Kerana semuanya itu adalah nikmat yang tidak dapat dilihat dan dirasakan oleh pancainderanya yang lima. Ia hanya dapat dirasakan oleh hati-hati yang beriman dengan iman yang sebenar-benarnya dengan mengikuti dalil-dalil, bukan sekadar ikutan atau warisan keturunan. Iman yang ditambahi dengan pembacaan Al Quran dengan mentadabburi ayat-ayatnya, hadith-hadith dengan merenunginya, sirah Nabi dan Para Sahabat serta Para Solehin dengan menghayatinya.

Mari kita kembali untuk melihat sebahagian contoh-contoh buat menguatkan penjelasan ini. Kita melihat ramai manusia yang sanggup berpagi-pagi menempuh kesesakan lalulintas dan asap kenderaan yang mencemari udara dengan penuh kesabaran, lalu sampai ke tempat kerja untuk melakukan suatu pekerjaan yang ia sendiri jika diberi pilihan pastinya akan memilih pekerjaan yang lain kerana pekerjaan yang dilakukannya kini bukanlah apa yang diminatinya, namun dipaksanya juga melakukannya. Motivasi apa yang menjadikannya sebegitu tabah hati dan sabar? Mungkin saja kerana tiada peluang kerja yang lain. Nah! Motivasi terbesar adalah gaji yang bakal diterimanya hujung bulan nanti. Di benaknya sudah tergambar berbagai-bagai yang akan dibelinya.

Seseorang menanam pohon durian kita misalkan, -anda kan sendiri tahu bagaimana sukarnya membela dan menjaga pohon durian- dengan sabarnya sanggup mengeluarkan duit membeli anak pokok, menanam, menyiram, membaja, merumput, melihat-lihatnya setiap hari pagi dan petang kalau-kalau ada kumbang yang 'coba-coba' merosakkan dan bermacam lagi. Berapa tahunkah agaknya ia terpaksa melakukan hal itu sehingga pohon durian itu mengeluarkan putiknya yang pertama? Kebiasaannya tujuh tahun. Tetapi belum tentu putik yang kelihatan itu akan bertukar menjadi buah yang dapat dimakan. Mungkin saja ia gugur sebelum berkembang, kata orang. Terpaksa pula menunggu setahun lagi. Mungkin tahun hadapan putik buahnya muncul lagi, dan kini menjadi buah yang sederhana besar. Namun, belum tentu ia akan gugur sebagai buah yang boleh dimakan. Ia akan tetap gugur, tetapi gugur 'buang buruk' sahaja, istilahnya. Nah! Terpaksa pula menunggu setahun lagi. Membaja, merumput dan lainnya masih terpaksa dilakukan. Hari dan bulan silih berganti. Pohon durian itu kini berbuah lebat. Dan buah-buahnya gugur sebagai buah yang masak, tetapi belum tentu isinya manis dan berlemak. Ada yang keras "mangkar" dan ada yang sekadar sesuai dibuat tempoyak atau lempuk saja. Meskipun terpaksa melalui kesemua itu, kita dapati tuan pokok durian itu penuh kesabaran untuk mengharapkan dapat memetik hasilnya.

Tuan-tuan;

Begitulah kita analogikan sifat sabar manusia hanyalah di dalam urusan seperti itu yang cuma menyangkut kepentingan dan kesenangan dunianya yang sebentar. Kita bayangkan boleh saja dia mati sebelum sempat menikmati buah daripada pokokyang ditanam. Atau datang petir menyambar pokok durian itu sehingga mati. Namun manusia tadi tetap memaksa dirinya sabar.
Tetapi, di dalam hal keakhiratan payah sekali ia bersabar!

Mari kita lihat contoh mudah. Ibu bapa sanggup menghantar anak tuisyen akademik di sana sini, sehingga hujung minggu dan malam juga dipenuhi tuisyen akademik. Sabar menghantar dan mengambil anak dari pusat tuisyen. Biar berhabis duit dan berkorban masa. Sabar..Untuk apa? Hanya untuk memastikan anaknya berjaya mendapat semua A di dalam penilaian sekolah rendah sahaja! Alangkah..! Sebaliknya jika kelas Quran tajwid dan Fardhu 'ain liat pula. Bahkan ada yang lebih sanggup mengorbankan kelas Quran kerana tuisyen. Belum lagi dikira mengenai yuran kelas Quran yang tertunggak yang dibayar dengan tarikan muka yang masam mencuka sekalipun lebih murah berbanding tuisyen akademik itu. Jika tuisyen sanggup menghantar dan mengambil, tetapi belajar Al Quran hendakkan guru datang ke rumah saja.

Anak-anak belajar di sekolah rendah selama 6 tahun, disambung pula di sekolah menengah selama 5 tahun, menjadikan jumlahnya 11 tahun, tidaklah dirasakan lama. Namun, anak yang baru 4 tahun belajar di tahfiz sebagai contoh, sudah dianggap terlalu lama. Bahkan jika anak itu baru mampu menghabiskan hafalannya dalam masa 6 tahun masih dianggap tidak punya apa-apa! Seolahnya masih tidak mempelajari suatu apa pun! Apakah dia menganggap menghafal Al Quran itu suatu perkara yang semudah memetik jari atau membilang 1,2,3 sehingga 10? Alangkah.. Sedangkan anak yang sama, -bahkan realitinya kebanyakan pelajar kita pun- jika belajar selama 11 tahun dari Darjah 1 sehingga ke Tingkatan 5, masih lagi tidak menguasai Bahasa Inggeris yang dipelajari selama 11 tahun itu, tidak pula dianggap dengan anggapan yang sama! Belum lagi si anak yang belajar tahfiz selama 5,6 tahun itu menyuarakan hasrat menyambung belajar lagi dibidang agama selama 5,6 tahun lagi. "Ohhh! Cukuplah! Dah terlalu lama engkau mengaji dulu. Duit pun dah banyak dihabiskan untuk yuran dan perbelanjaan engkau! bla,bla,bla...." Demikianlah. Lalu dengan sikap sebegitu ia mengimpikan anaknya bakal muncul sebagai ulama hebat? Haihata fa haihaat. Betapa cepat ia inginkan hasil dan betapa ia merasa telah membelanjakan hartanya begitu banyak. Inilah realiti hari ini. Realiti manusia yang rabun mata hati daripada memandang akhirat akibat debu-debu dunia yang menempel pada cermin mata hatinya.

Alangkah hairannya! Bagaimanakah ia tidak sanggup bersabar menempuh kesusahan dan kepayahan dunia ini untuk menjadikannya terkemuka di akhirat? VVVIP di syurga? Pemilik mahligai di kediaman elit di dalam syurga seumpama Damansara Height atau Hartamas di dunia? Semoga kita diselamatkan Allah daripada dunia yang merasuk hati sehingga menyingkirkan kecintaan kepada akhirat yang kekal abadi.

Wallahu a'lam.