Thursday, June 14, 2012

"Nostalgia" - Rehearsal (2009)

Assalamualaikum.

Kali ini kita saksikan pula video daripada koleksi video-video retro MTK yang memaparkan bagaimana para pelajar MTK ketika itu bernasyid "Nostalgia" untuk majlis Muhadhoroh bulan Mac 2009.


Saksikan!

Wednesday, June 13, 2012

FIKIR-FIKIR CARI IDEA..

Assalamualaikum buat semua pengunjung blog.

Ketika menggodek-godek folder lama album MTK, Admin terjumpa video-video lama ketika mana rakaman dan gambar banyak sekali dilakukan pada aktiviti2 pelajar. 


Oleh kerana terdapat sedikit kelapangan masa, maka Admin mengambil kesempatan menukar format video yang sesuai seterusnya mengupload beberapa video ke youtube di akaun youtube MTK. (boleh klik di tab di atas blog ini).

InsyaAllah sekiranya ada lagi waktu terluang yang munasabah, akan diuploadkan lagi koleksi video-video yang penuh nostalgia tersebut. :)

Berikut adalah video yang dirakamkan sekitar bulan Februari 2009. MTK akan menganjurkan Muhadhoroh antara pelajar pada bulan Mac tahun berkenaan, jadi sebahagian pelajar ada yang bernasyid dan berforum perdana. Kita akan saksikan melalui video di bawah ini bagaimana mereka memerah otak mencari idea untuk isi-isi penting forum tersebut. 

Saksikan! :) 

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #11


BERSEMANGAT MENUNTUT ILMU

Di antara adab yang pasti adalah:
  • Bersemangat menuntut ilmu, berterusan menuntutnya pada setiap ketika dan kesempatan. Tidak merasakan cukup dengan sedikit ilmu jika ia berkemampuan mendapat lebih banyak. Tidak membebankan dirinya di luar kemampuan sehingga melemparkan dirinya dari medan ilmu disebabkan jemu. Dan tidak wajar baginya menyia-nyiakan apa yang telah diraihnya. Dan ini semua berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain disebabkan perbezaan karektor dan keadaan.
  • Apabila ia datang ke majlis gurunya lalu ia tidak mendapatinya, lazimkanlah diri menunggu di pintu guru agar ia tidak luput daripada memperdengarkan bacaannya. Kecuali ia tahu yang gurunya tidak menyukai (menunggu) ditambah pula menjadi kelaziman syeikh untuk menyemak pada waktu-waktu tertentu sahaja (mengikut jadual yang tetap).
  • Jika ia mendapati gurunya sedang tidur, maka jangan pula mengejutkannya, tetapi bersabarlah menunggu sehingga ia bangun atau selesai, atau ia pergi sahaja tanpa menunggu. Tetapi bersabar menunggu itulah yang lebih utama sepertimana yang dilakukan oleh Ibn Abbas dan selainnya dari para ulama.
  • Hendaknya seseorang bersungguh-sungguh mengambil kesempatan menuntut ilmu ketika waktunya masih lapang, kemahuannya masih tinggi,badannya masih kuat, fikirannya masih jernih dan kesibukannya masih kurang sebelum tibanya penghalang-penghalang dan sebelum ia mempunyai kedudukan. Berkata Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab ra: ”Tafaqquhlah (tuntutlah ilmu agama) sebelum kamu diangkat menjadi ketua”. Maknanya; Bersungguh-sungguhlah menyempurnakan kepakaran kamu semasa kamu masih seorang pengikut sebelum kamu menjadi pemimpin (orang yang diikuti). Ketika itu kamu akan terhalang untuk belajar dikeranakan ketinggian kedudukan kamu tersebut, ditambah banyaknya kesibukan-kesibukan kamu sebagai ketua (sehingga tiada lagi kesempatan masa lapang untuk kamu belajar). Dan inilah makna perkataan Imam As Syafie ra: ”Belajarlah sebelum kamu memimpin, kerana apabila kamu memimpin, tiada ruang lagi buat kamu untuk belajar”.
  • Hendaklah ia berpagi-pagi untuk membaca kepada gurunya kerana sabda Nabi SAW: ”Ya Allah, berkatilah umatku pada awal pagi mereka”.
  • Haruslah ia menjaga apa yang telah dihafalnya, dan tidak wajar untuk ia mengutamakan orang lain ketika gilirannya telah tiba kerana mengutamakan orang lain di dalam hal kedekatan kepada Allah adalah makruh, berbeza dengan mengutamakan orang lain di dalam urusan peribadi kerana ia disukai. Jika gurunya melihat patut mengutamakan orang lain, lalu mengisyaratkan sedemikian, maka hendaklah ia patuh.
  • Wajiblah baginya untuk tidak berhasad dengki dengan seorang pun daripada temannya disebabkan kurnia Allah kepada mereka.
  • Juga janganlah ia merasa ‘ujub (bangga diri/”bajet”) dengan anugerah Allah kepadanya, seperti yang kami telah jeaskan sebelum ini di dalam adab guru. 


Cara untuk menghindari ujub adalah:
    1. Dengan menyedari bahawa semuanya adalah anugerah Allah, bukannya dengan kepandaian dan kehebatan hafalannya.
    2. Menyedari bahawa semua itu adalah pinjaman dari Allah semata.
Jalan untuk menepis hasad dengki pula adalah:
  1. Mengetahui bahawa Allah mempunyai hikmah tersendiri menempatkan kurniaNya kepada seseorang, maka janganlah ia membencinya pula.
Bersambung...
-Abu Najla-

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #10


ADAB BERSAMA TEMAN-TEMAN.

  • Hendaklah ia beradab dengan teman-teman dan hadirin kerana ia juga termasuk adab kepada gurunya dan memelihara kehormatan majlisnya.
  • Hendaknya ia duduk di hadapan guru seperti seorang murid bukannya seperti duduk seorang guru.
  • Tidak mengangkat suara tanpa hajat, tertawa, banyak bercakap tanpa keperluan, bermain-main dengan tangannya atau lainnya, menoleh ke kanan dan ke kiri tanpa hajat, tetapi hendaklah ia menghadap kepada guru dan memberi perhatian kepada kata-katanya.



ADAB BERSAMA GURUNYA

Di antara adab yang perlu diambil perhatian penting adalah;
  • Ia tidak membaca kepada guru dalam keadaan jiwa gurunya tidak keruan atau tidak bersemangat. Atau dalam keadaan hati gurunya tidak tenang, gelisah, gundah, sedih, gembira, dahaga, mengantuk, bergoncang atau seumpamanya yang menghalang gurunya dari memberi perhatian terhadap bacaannya. Dengan itu hendaklah ia mengenal waktu gurunya bersedia lalu merebut kesempatan untuk membaca.
  • Di antara adabnya juga, hendaklah ia sanggup bersabar menanggung sikap guru yang mungkin ia tidak menyukainya, atau kekasaran akhlaknya. Serta dengan itu tidak menghalangnya daripada melazimi gurunya dan meyakini kesempurnaannya (ilmunya). Haruslah ia menakwilkan perbuatan dan perkataan gurunya yang nampak buruk pada zahirnya dengan takwilan atau sangkaan yang baik. Dan tidak ada yang tidak sanggup melainkan disebabkan kurang atau tiadanya taufiq. Jika gurunya menjauhi dan bersikap kasar kepadanya, hendaklah ia menerima serta merasakan kesalahan itu adalah darinya, lantas mencela dirinya sendiri. Dan yang demikian itu adalah lebih bermanfaat kepadanya di dunia dan akhirat selain lebih menjadikan hati gurunya lebih lapang. Sesungguhnya mereka (para ulama) telah berkata: ”Sesiapa yang tidak bersabar di atas kehinaan semasa belajar akan kekal di dalam gelap kejahilan, sedangkan sesiapa yang sanggup bersabar akan meraih kemuliaan akhirat dan dunia”.
  • Dan di dalam atsar yang masyhur dari Ibn Abbas ra: ”Aku menempuh kehinaan menuntut ilmu lalu aku meraih kemuliaan apabila ilmu ini dituntut pula dariku”. Alangkah indah apa yang diucapkan ini: ”Sesiapa yang tidak merasakan kehinaan sesaat, akan menempuh kehinaan sepanjang zaman”.
Bersambung...

-Abu Najla-