Wednesday, May 30, 2012

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #9

ADAB PENUNTUT ILMU

Fasal: Keseluruhan apa yang telah kami sebutkan dari adab guru juga merupakan adab bagi seorang murid.

Di antara adab-adabnya yang lain adalah:

  • Menjauhi segala sebab yang menyibukkannya daripada ilmu, melainkan sesuatu yang tidak dapat tidak ia melakukannya disebabkan keperluan.
  • Hendaklah ia membersihkan hatinya dari kekotoran (penyakit hati), untuk memudahkan hatinya menerima Al Quran, menghafaznya dan memetik hasilnya. Sesungguhnya telah sahih dari Nabi SAW sabdanya: “Sesungguhnya di dalam jasad (manusia) ada seketul daging. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya dan jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah bahawa itulah hati”. Amatlah cantik apa yang diungkapkan seseorang yang berkata: “Perbaikilah hati untuk ilmu, sepertimana tanah diperbaiki (digembur) untuk menanam”.
  • Sewajarnya ia tawadhu’ kepada gurunya dan membaguskan adab dengannya, meskipun guru itu lebih muda daripadanya, atau kurang kemasyhurannya, atau biasa-biasa saja nasabnya dan kesolehannya atau seumpamanya. Hendaklah ia bertawadhu’ kepada ilmu, maka dengan tawadhu’ ia akan berhasil. Seperti untaian sebuah syair: “Ilmu itu musuh bagi pemuda yang meninggikan diri sepertimana air banjir menjauh dari tempat yang tinggi”.
  • Hendaknya ia mencontohi gurunya (pada perkara yang terpuji), berbincang dengannya segala permasalahannya (yakni: permasalahan murid itu), dan menerima kata-katanya (yang benar). Seumpama seorang pesakit yang menerima kata-kata seorang doktor yang baik lagi cerdik. Dan inilah yang utama.
  • Dan janganlah ia belajar melainkan daripada guru yang sempurna kepakarannya dan ternyata kehidupan beragamanya, tepat pengetahuannya serta diketahui penjagaan dirinya (wara’). Kerana sesungguhnya telah berkata Muhammad bin Sirin, Malik bin Anas dan selain mereka dari Salafussoleh: “Ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu”.
  • Menjadi kewajpan baginya untuk memandang gurunya dengan pandangan penghormatan, mengakui kepakarannya dan kelebihannya kerana itu akan lebih menghampirkannya untuk memetik manfaat dari gurunya.
  • Ada di antara para pendahulu kita yang apabila ia ingin pergi menemui gurunya ia akan bersedekah dengan sesuatu lantas berdoa: “Ya Allah, tutupilah aib guruku dan janganlah engkau hilangkan keberkatan ilmunya dariku”. Berkata Ar Rabi’ sahabat Imam As Syafi’e: “Aku tidak dapat untuk minum jika Imam As Syafie melihat padaku disebabkan rasa seganku dengan kehebatannya”.
  • Dan kami meriwayatkan daripada Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib ra katanya: “Di antara hak guru ke atasmu adalah engkau memberi salam kepada orang lain secara umum dan mengkhususkan salam dan penghormatan kepadanya.
  • Hendaklah engkau duduk di hadapannya dengan tidak menunjuk ke mana-mana dengan tanganmu atau mengenyit-ngenyit matamu. Atau (janganlah hendaknya) engkau berkata; “orang lain mengatakan begini dan begitu”, menyalahi apa yang dikatakan gurumu.
  • Jangan mengumpat seseorang pun di hadapannya, juga jangan berbincang dan bercakap-cakap dengan temanmu di dalam majlisnya. Jangan pula menarik bajunya jika ia ingin pergi, atau mendesaknya ketika ia tidak ingin bicara. Dan jangan pula merasa jemu akibat lamanya persahabatanmu dengannya. Seharusnya ia beradab dengan adab-adab yang telah ditunjukkan oleh Imam Ali kwj.
  • Jika ingin menemui guru, maka masuklah dengan keadaan yang paling sempurna seperti yang telah kami jelaskan pada adab guru. Iaitu dengan berkeadaan suci, bersiwak dan mengosongkan hati dari urusan-urusan yang lain.
  • Jangan masuk kepada guru melainkan dengan izinnya jika guru berada di tempat yang perlu kepada meminta izin.
  • Hendaklah memberi salam kepada hadirin ketika masuk dan mengkhususkan salam kepada guru.
  • Juga berilah salam kepadanya dan hadirin jika ingin beredar dari majlis seperti yang tertera di dalam hadis: ”Tidaklah (salam) yang awal lebih berhak dari(salam) yang kedua”.
  • Jangan melangkahi leher manusia untuk ke hadapan majlis, tetapi duduklah di mana yang kosong. Melainkan diizinkan gurunya atau ia tahu yang orang lain mengutamakannya untuk ke hadapan. Jangan pula membangunkan orang lain dari tempatnya untuk ia sendiri duduk di tempat tersebut, kerana mengutamakan dirinya atas orang lain tidaklah dapat diterima bercontohkan apa yang dilakukan Ibn Umar ra. Kecuali dengan sebab ia ke hadapan itu membawa kebaikan kepada hadirin atau gurunya memerintahkan demikian (maka tidak apa).
  • Jangan sesekali duduk di tengah-tengah halaqah melainkan kerana darurat. (tempat yang sempit contohnya).
  • Jangan pula duduk di antara dua orang yang bersahabat tanpa izin kedua-duanya. Jika mereka melapangkan baginya, bolehlah ia duduk dengan mendiamkan dirinya.
Bersambung...

-Abu Najla-

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #8

Fasal: Di antara adab yang sangat perlu diambil berat adalah janganlah ia sesekali menghina ilmu, iaitu dengan pergi ke tempat orang yang ingin menuntut ilmu, sekalipun yang ingin belajar itu adalah khalifah atau siapa jua. Bahkan hendaklah ia memelihara ilmu itu sepertimana yang dilakukan oleh para salafussoleh ranhum, dan kisah-kisah mereka tentang hal ini banyak sekali.

[ Yakni: Orang yang hendak belajar lah yang semestinya datang bertemu orang yang berilmu, bukan sebaliknya seperti yang banyak berlaku pada zaman kita ini –pent]



Fasal: Sebaiknya majlisnya adalah berkeadaan lapang untuk memungkinkan para penuntut ilmu untuk duduk.
Di dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda: ”Sebaik-baik majlis adalah yang paling lapang”.
Diriwayatkan oleh Abu Dawud di dalam Sunannya pada permulaan kitab adab dengan isnad yang sahih daripada riwayat Abi Said al Khudri ra.
Bersambung...

-Abu Najla-

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #7

Fasal: Amatlah dianjurkan kepada para guru agar bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam mengajar para pelajarnya serta mengutamakan tugasnya itu berbanding kemahuan duniawinya yang melebihi keperluan.

Dia juga hendaknya mengosongkan hatinya daripada apa-apa saja yang menyibukkannya ketika ia mulai untuk mengajar.

Serta bersungguh-sungguh agar muridnya faham apa yang diajarnya dan memberikan setiap orang apa yang layak buat mereka. Iaitu janganlah ia memberi banyak kepada yang tidak mampu menerima banyak, dan jangan pula menahan dari seseorang yang mengharapkan tambahan.

Ia juga harus menyuruh mereka mengulangkaji pelajaran mereka, memuji sesiapa yang nyata kecerdasannya selagi tidak ditakuti terjadi ujub atau yang seumpamanya.

Sesiapa yang malas hendaknya dihukum dengan hukuman yang layak dan tidak terlampau menyakitkan selagi tidak ditakuti ia akan terus meninggalkan menuntut ilmu.


Jangan sesekali merasa hasad dengan kemampuan ilmu yang tampak pada seseorang anak muridnya (bimbang jika muridnya melebihi dirinya). Jangan mengira banyak apa yang dikurniakan Allah kepada seseorang sehingga ia meremehkan apa yang telah dianugerahkan Allah kepada dirinya sendiri.

Kerana dengki dengan orang yang tiada pertalian dengannya saja sudah sangat haram, apatah lagi dengan muridnya yang berkedudukan seumpama anaknya? 

Sedangkan (jika murid itu berjaya) kebaikannya akan kembali kepada gurunya juga, di akhirat nanti dengan pahala yang berlimpah sedangkan di dunia ini dengan pujian dan sebutan yang indah-indah. Hanya Allah sahajalah Pemberi Taufik.


Fasal: Jika murid itu ramai, maka hendaklah didahulukan yang lebih dahulu datang. Jika yang datang awal merelakan untuk dikemudiankan maka bolehlah didahulukan murid yang lain.

Hendaklah ia menemui mereka dengan wajah yang ceria dan berseri-seri, mengambil tahu keadaan mereka serta bertanyakan keadaan murid yang tidak hadir.

Fasal: Berkata para ulama’: “Janganlah enggan untuk mengajar murid disebabkan niatnya yang masih tidak lurus”

Kerana sesungguhnya telah berkata Sufyan (Ats Tsauri) dan yang lainnya:
“Menuntut ilmu itu perlukan niat. Pernah dahulu kami menuntut ilmu bukan kerana Allah, namun ia (ilmu itu) enggan melainkan kerana Allah”.

Maksudnya: niat seorang penuntut ilmu itu akan beransur-ansur menjadi kerana Allah (disebabkan pertambahan ilmunya).



Fasal: Di antara adab guru lagi yang perlu dijaga adalah:- Ia tidak membiarkan tangannya bermain-main tanpa tujuan ketika sedang mengajar. Atau membiarkan matanya memandang kepada sesuatu yang tidak perlu. Dan hendaklah ia duduk di dalam keadaan bersuci, mengadap kiblat, tenang dan pakaiannya putih dan bersih.

Dan apabila ia sampai di tempat mengajar, hendaklah ia solat dua rakaat sebelum duduk, tidak kira di masjid atau bukan. Jika di masjid lebih lagi dituntut kerana makruh duduk sebelum menunaikan solat dua rakaat (tahiyyatul masjid)
Kemudan ia boleh memilih untuk duduk bersila atau selainnya.

Abu Bakar bin Abi Dawud As Sijistani meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa ia mengajar manusia membaca Al Quran di masjid dalam keadaan berteleku di atas dua lututnya (seperti duduk iftirasy di dalam solat).

Bersambung...

-Abu Najla-

Thursday, May 24, 2012

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #6

Fasal: Patutlah baginya (pengajar) untuk memberi nasihat kepada para pelajarnya, kerana Rasulullah SAW telah bersabda: 
Agama ini adalah nasihat. Kami (para sahabat) bertanya: “Untuk siapa wahai Rasulallah?”. Jawab Baginda: “Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, para pemimpin muslimin serta masyarakat muslimin seluruhnya”. 
Riwayat Bukhari dan Muslim.


Termasuk nasihat kepada Allah dan KitabNya adalah:- 
Memuliakan pembacanya serta penuntut ilmunya, menuntun mereka kepada apa yang membawa kebaikan untuk mereka, berlemah lembut kepada mereka, menolongnya untuk mendapatkan ilmu, menjinakkan hati penuntut, berlapang dada di dalam mengajar, berhemah serta memotivasikannya untuk menuntut ilmu.

Sudah semestinya seorang guru patut sentiasa mengingatkan penuntut ilmunya tentang kelebihan-kelebihan (ilmu dan menuntut ilmu) agar mereka lebih giat dan bertambah gemar kepada ilmu, lalu bertambah zuhud di dunia dan tidak tertipu dengan tipuannya.


Juga diperingatkan dengan kelebihan menyibukkan diri dengan Al Quran serta seluruh ilmu syariat, kerana ia adalah jalan para ‘arifin, hamba-hamba Allah yang solehin dan itulah martabat dan jalan yang ditempuh oleh para anbiya -selawat dan salam ke atas mereka-.

Semestinya ia mengasihi para pelajar serta mengambil berat permasalahan mereka, seumpama ia mengambil berat perihal anak-anaknya serta dirinya sendiri. 

Letakkan dirinya seolah-olah seorang bapa pada kasih sayang kepada mereka, bersabar di atas kedegilan dan kelakuan buruk mereka, memberi keuzuran terhadap kekurangan adab mereka pada sesetengah keadaan kerana manusia ini bersifat serba kekurangan, lebih-lebih lagi jika ia seorang kanak-kanak atau remaja.

Kemudian hendaklah ia menyukai untuk muridnya apa yang disukai untuk dirinya daripada kebaikan-kebaikan, serta membenci untuk muridnya apa yang ia sendiri tidak menyukainya.

Sesungguhnya telah tsabit di dalam As Sahihain daripada Rasulillah SAW bahawa Baginda bersabda:
“Tidak beriman (sempurna) seseorang daripada kamu sehingga ia menyukai untuk saudaranya apa yang ia sukai untuk dirinya sendiri”.

Dan daripada Ibn Abbas ra katanya
“Orang yang paling mulia padaku adalah teman duduk yang sanggup melangkahi manusia untuk duduk bersamaku. Seandainya aku dapat untuk tidak membiarkan seekor lalat singgah di wajahnya, pasti aku akan melakukannya”.

Di dalam riwayat yang lain: 
”Jika seekor lalat hinggap di wajahnya sahaja, itu sudah cukup untuk menyakitiku”.

Hendaknya lagi ia tidak membesarkan diri kepada para muridnya sebaliknya berlemah lembut dan bertawadhu’ kepada mereka. 


Bertawadhu’ kepada seorang manusia biasa saja sudah perlu, bagaimana pula dengan mereka yang diibaratkan seperti anak-anaknya sendiri beserta dengan kesibukan mereka dengan Al Quran dan hak persahabatan yang dimiliki oleh mereka, ditambah lagi dengan kerapnya mereka mengunjungi dan bersamanya untuk menuntut ilmu.




Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: 
“Berlemah lembutlah kamu kepada sesiapa yang kamu ajari serta sesiapa yang kamu belajar darinya”.

Dan daripada Abi Ayyub as Sakhtiyani ra, katanya:
“Sepatutnya seorang yang alim itu menaburkan tanah di atas kepalanya sebagai tanda tawadhu’ kepada Allah”.

Fasal: Menjadi kewajaran kepada pengajar untuk mendidik pelajarnya secara beransur-ansur dengan adab yang terpuji, budi pekerti yang diredhai, melatih nafsu dengan mengenali selok belok tipuannya, membekalkannya dengan perisai untuk menghadapi setiap urusannya yang zahir mahupun yang batin, menggesanya dengan perkataan dan perbuatan agar mengikhlaskan amal, bersikap benar dan memperbaiki niat serta merasakan pengawasan Allah setiap ketika.

Beritahukan kepadanya bahawa semua itu akan menjadikan dadanya lapang dan bersedia untuk menerima siraman cahaya pengetahuan dan kearifan sehingga akan terpancar di dalam hatinya mata air hikmah dan rahsia-rahsia pengetahuan lantas ia akan diberkati pada ilmunya dan keadaannya serta akan dikurniakan taufiq pada perbuatan dan perkataannya.



Fasal: Tugas mengajar adalah fardhu kifayah, jika tiada yang mengemban / mendukung tugas ini maka ia akan bertukar menjadi fardhu ain. Tetapi jika di sana ada segologan manusia yang telah menjalankan tugas ini maka memadai. Jika tiada maka seluruh masyarakat berdosa, namun jika telah ada yang melakukannya, yang lain terlepas dari beban dosa.

Sekiranya seseorang diminta mengajar lalu ia tidak mahu, maka pendapat yang terpilih di antara dua pendapat adalah mereka tidak menanggung dosanya, sebaliknya orang yang diminta mengajar itu boleh dipaksa untuk mengajar jika ia tidak mempunyai sebarang keuzuran.
Bersambung...

-Abu Najla-

Thursday, May 10, 2012

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #5

Fasal: Berhati-hati dengan tidak menjadikan maksudnya untuk memperbanyak pengikut dan orang yang belajar kepadanya.

Hendaklah berjaga-jaga agar tidak membenci pelajarnya yang turut belajar dengan orang lain.
Ini adalah musibah yang menimpa sebahagian para pengajar yang jahil. Dan ini adalah menjadi petunjuk kepada buruknya niat dan rosaknya tujuan. Bahkan ia adalah hujjah yang pasti tentang kosongnya niatnya mengajar semata-mata kerana mengharapkan keredhoan Allah yang Maha Tinggi lagi Terpuji.

Disebabkan jika benarlah niatnya, maka mengapa ia membenci pelajarnya belajar dengan orang lain? Bahkan ia sepatutnya berkata kepada nafsunya; “Aku hanya mengharapkan pengajaranku ini satu ibadat, dan aku telah mencapai tujuanku itu, dan pelajarku hanya bermaksud untuk menambah ilmunya dengan orang lain, alangkah tidak patutnya jika aku mencela atau tidak menyukainya”.


Sesungguhnya kami telah meriwayatkan di dalam Musnad Imam yang disepakati dengan kekuatan hafalan dan keimamannya, Abi Muhammad Ad Daarimi ra, daripada Ali bin Abi Talib ra bahawa ia berkata:
 ”Wahai para penghafal Al Quran! Atau wahai pembawa ilmu! Beramallah dengannya, kerana yang disebut alim itu adalah seorang yang beramal dengan ilmunya, dan amalnya tepat pula dengan ilmunya. Nanti akan datang segolongan manusia yang membawa ilmu namun tidak melepasi kerongkongan mereka. Amal mereka berbeza dengan ilmu mereka, batin mereka tidak seperti zahir mereka. Mereka berkumpul untuk membangga-banggakan diri sesama mereka sehinggakan ada yang sampai memarahi temannya kerana temannya itu meninggalkan dirinya untuk pergi belajar kepada orang lain. Mereka itulah orang yang amal mereka di dalam perhimpunan mereka tidak akan diangkat kepada Allah Ta’ala”.

Sesungguhnya telah sahih daripada Al Imam As Syafi’e ra katanya:
”Aku berharap agar manusia mempelajari ilmu ini- yakni ilmunya dan kitab-kitab karangannya- lalu tidak menyebut-nyebut bahawa ianya dariku walau sepatah huruf pun!”

Fasal: Hendaklah seseorang pengajar itu berakhlak dengan akhlak yang mulia seperti yang telah disebutkan syarak, serta menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji dan keperibadian yang diredhai yang ditunjukkan Allah kepadanya seumpama zuhud di dunia, menyedikitkan daripadanya (dunia) serta menjauhi daripada menyibukkan diri dengannya dan para pemburunya.

Juga menjadikan hiasan dirinya sifat pemurah dan dermawan, akhlak yang mulia, berwajah ceria yang tidak menjadikan ia memejamkan mata dari kemungkaran, lemah lembut, sabar, jauh dari perbuatan hina, melazimkan sifat warak, khusyuk, tenang, sopan dan tawadhu’, rendah diri, menghindari ketawa dan gurau senda yang melampau.

Selain itu ia juga sewajarnya melazimkan diri dengan menjaga kebersihan dan kerapian iaitu menghilangkan kekotoran dan bulu-bulu yang diperintahkan syarak untuk membuangnya seperti memendekkan misai, memotong kuku, merapikan janggut, menghilangkan bau-bau yang tidak enak serta pakaian yang dibenci syarak.

 Hendaklah ia berhati-hati dengan menjauhi sama sekali sifat hasad, riya, ujub, meremehkan orang lain meskipun yang lebih rendah (kedudukan dan keilmuan) darinya, dan sewajarnyalah ia mengamalkan tasbih, tahlil, zikir dan doa-doa yang dinukil dari hadis-hadis, serta sentiasa merasakan pengawasan Allah terhadapnya ketika bersendirian mahupun bersama manusia dan menjadikan penyerahan seluruh urusannya hanyalah semata-mata kepada Allah yang Maha Tinggi.

Fasal: Hendaklah seorang pengajar itu berlemah lembut dengan pelajarnya, meraikannya serta berbuat baik kepadanya mengikut keadaan pelajar itu.

Kerana sesungguhnya kami telah meriwayatkan daripada Abi Harwan al ‘Abdi katanya: kami datang kepada Abu Said al Khudri ra, lalu ia berkata:  
”Selamat datang wahai mereka yang disebutkan oleh Rasulullah SAW! Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: “Manusia akan mengikuti kamu (para sahabat). Nanti akan datang lelaki-lelaki dari segenap penjuru dunia untuk mempelajari agama dari kamu, maka apabila mereka datang sambutlah mereka dengan kebaikan”.
Diriwayatkan oleh At Tirmizi, Ibnu Majah dan selainnya. 

Dan kami juga telah meriwayatkan seumpamanya di dalam Musnad Ad Daarimi daripada Abi Dardaa ra.

Bersambung...

-Abu Najla-

Sunday, May 6, 2012

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #4

BAB 4: ADAB PENGAJAR DAN PELAJAR AL QURAN

Bab ini dan dua bab yang berikut adalah tujuan penulisan kitab ini. Ianya panjang, namun saya akan meringkaskannya dengan menjadikannya kepada beberapa fasal untuk memudahkan menghafalnya serta mengingatinya InsyaAllah.

Fasal: Pertama-tama yang patut diberi perhatian adalah tujuan mengajar dan belajar itu adalah kerana Allah. 

 Firman Allah Ta’ala:
Dan mereka tidaklah diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Dan demikian itulah agama yang benar (lurus)”.

Di dalam As Sahihain daripada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap amalan itu (dikira berdasarkan) dengan niat. Dan bagi setiap orang apa yang ia niatkan”.
Dan hadis ini adalah daripada perkara pokok di dalam Islam.

Dan kami meriwayatkan dari Ibni Abbas ra katanya: “Sesungguhnya seseorang akan diganjari berdasarkan niatnya”.

Dan daripada riwayat selain beliau: ”Bahawasanya seseorang manusia akan mendapat ganjaran sekadar apa yang mereka niatkan”.

Dan kami meriwayatkan daripada Al Ustaz Abil Qasim Al Qusyairi ra katanya:
Ikhlas itu adalah menjadikan tujuan hanya satu. Iaitu mengkehendaki dengan amalan taatnya hanya untuk menghampirkan diri kepada Allah, bukan tujuan-tujuan yang lain seumpama menunjuk-nunjuk kepada manusia, atau mengharapkan kecintaan dan pujian mereka, atau tujuan-tujuan yang selainnya.

Beliau berkata, -dan benarlah perkataannya- iaitu: ”Ikhlas adalah membersihkan amal daripada pengawasan makhluk”.

Daripada Huzaifah Al Mar’asyi ra: “Ikhlas itu adalah sama saja amalan seseorang itu zahir dan batinnya”.

Dan daripada Zin Nun ra katanya:-
Tanda-tanda ikhlas itu ada tiga:
  1. Sama saja baginya pujian dan celaan manusia.
  2. Tidak memandang (dengan mengingat-ngingat) amalan (kebaikan) yang dilakukan.
  3. Mengharapkan ganjaran amalan di akhirat (bukan di dunia dengan kecintaaan manusia atau pujian mereka).
Dan daripada Al Fudhail Ibn Iyadh ra, katanya:
“Meninggalkan amalan kerana manusia adalah riya’ sebaliknya beramal kerana manusia adalah syirik. Sedangkan ikhlas adalah engkau diselamatkan Allah daripada keduanya”.

Dan daripada Sahl At Tustari ra katanya:
“Orang yang berakal cemerlang mencari-cari makna ikhlas, lalu mereka tidak mendapatinya selain pada makna ini; iaitu seseorang menjadikan geraknya dan diamnya, di dalam keadaan bersendirian atau keramaian hanya semata-mata hanya kerana Allah dan untukNya. Tidak bercampur dengan sesuatu daripada nafsu atau keinginannya atau dunianya”.

Daripada As Sirri ra:”Jangan engkau beramal kerana manusia dengan satu amal pun, dan jangan pula engkau tinggalkan sesuatu amal kerana mereka. Jangan engkau menutup sesuatu pun dari mereka dan jangan pula engkau menyingkap sesuatu pun untuk mereka”.

(di dalam kitab tercetak wala tu’ti, dengan ‘ain muhmalah [jangan memberi] tetapi penterjemah merasakan ianya adalah wala tughti, dengan ‘ain mu’jamah/ghain [jangan menutupi])

Dan daripada Al Qusyairi, katanya:
”Sifat benar yang paling utama adalah: Sama saja keadaan di dalam rahsia (berseorangan) atau terang-terangan (bersama manusia)”.

Dan daripada Al Harith Al Muhasibi ra katanya:
“Orang yang sadiq adalah orang yang tidak peduli walau apapun yang keluar dari hati manusia disebabkan kebaikan hatinya. Dia tidak menyukai secuil pun daripada perhatian manusia kepada kebaikan amalannya, dan dia juga tidak membenci perhatian manusia terhadap keburukan amalnya. Jika dia membencinya, maka itu adalah tanda bahawa ia mengharapkan sesuatu dari mereka, dan ini bukanlah daripada akhlak para Siddiqin”.

Daripada para tokoh yang lain, kata mereka: “Jika engkau memohon kepada Allah sifat benar, maka Dia akan mengurniakanmu cermin yang akan menampakkan kepadamu keajaiban dunia dan akhirat”.

Perkataan para Salaf tentang hal ini banyak sekali, namun kami hanya mendatangkan sebahagian sahaja sekadar peringatan.

Dan aku telah menyebutkan banyak daripada perkataan mereka beserta penjelasannya pada awal kitab Syarhil Muhazzab. Juga aku catatkan di sana adab-adab seorang alim,adab seorang pelajar,adab seorang faqih serta seorang penuntut ilmu agama yang mana mesti diambil perhatian oleh para penuntut ilmu. Wallahu ‘alam.

Fasal: Hendaklah ia (seorang pengajar Al Quran) tidak menjadikan tujuannya adalah untuk mendapatkan sesuatu daripada keduniaan seperti harta, kepimpinan dan pangkat, kemegahan, ketinggian di antara para sahabatnya, pujian dan perhatian manusia kepadanya atau yang seumpamanya.

Janganlah seorang pembaca Al Quran itu berhasrat agar condong hati manusia kepadanya sehingga menjadikan mereka memberi harta kepadanya, atau berkhidmat kepadanya, walaupun di atas nama hadiah sekalipun, yang mana jika ia tidak membacakan Al Quran kepada mereka pasti mereka tidak akan menghadiahkan kepadanya sesuatu apa pun.

Firman Allah: “Sesiapa yang menginginkan ganjaran akhirat, akan kami tambahkan baginya ganjaran. Namun sesiapa yang menginginkan ganjaran di dunia, maka akan kami berikan padanya, namun ia tidak akan beroleh ganjaran apapun di akhirat nanti”.

FirmanNya lagi: “Barangsiapa yang menginginkan balasan yang segera (di dunia ini) akan kami segerakan balasannya kepada sesiapa yang kami kehendaki”.

Daripada Abi Hurairah ra, sabda Rasulullah SAW: ”Sesiapa yang mempelajari satu ilmu yang dengan ilmu itu sepatutnya mencari redho Allah, lalu ia mempelajarinya untuk mendapatkan habuan dunia, maka ia tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari kiamat”.
Diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan isnad sahih. 
Hadis-hadis seumpama itu banyak sekali.

Daripada Anas, Huzaifah dan Kaab bin Malik r.anhum, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menuntut ilmu untuk bermegah-megah di kalangan orang jahil, atau untuk menandingi para ulama, atau untuk menarik perhatian manusia kepadanya, maka persiapkanlah tempat duduknya di dalam neraka”. Diriwayatkan At Tirmizi dari riwayat Kaab bin Malik, katanya: ”Akan dimasukkan ke dalam neraka”.

Bersambung..

-Abu Najla-