Thursday, March 29, 2012

SNOOKER HARAM??!!

Assalamualaikum buat semua pengunjung blog.

Di negara kita kewujudan pusat snuker sering dikaitkan dengan aktiviti2 yang kurang sihat terutama apabila membabitkan remaja. Namun adakah ia bermakna permainan snuker itu sendiri adalah sesuatu yang haram?

Pada asasnya permainan snuker itu sendiri sama saja seperti permainan-permainan yang lain, iaitu harus hukumnya. Cuma mungkin masyarakat kita masih terlekat dengan stigma "kotor"nya snuker akibat perjudian dan arak yang sering disinonimkan dengan pusat2 snuker..

Mungkin ada baiknya juga kalau disediakan meja2 snuker di balai2 raya atau balai lintang masjid untuk memberi alternatif buat mereka yang gemar mengunjungi pusat2 snuker yang "kurang sihat" yang sedia ada. Kalau di dewan masjid bolehlah ditetapkan waktu bermain dan waktu rehat mengikut waktu solat.

Apa-apa pun, apa kata kali ini kita lihat bagaimana skil2 para pelajar MTK di meja snuker. :) (Sila klik gambar untuk paparan lebih jelas)














Sunday, March 25, 2012

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #3

BAB 3: MEMULIAKAN AHLIL QURAN DAN TEGAHAN DARIPADA MENYAKITI MEREKA

Firman Allah ‘Azza wa Jalla.
“Barangsiapa yang mengagungkan syi’ar-syi’ar Allah maka ia (pengagungan tersebut) adalah (terbit) daripada hati yang bertaqwa.”
 
“Dan barangsiapa yang mengagungkan hukum-hukum Allah, maka ia menjadi satu kebaikan baginya di sisi Tuhannya.”

“Dan rendahkanlah dirimu kepada mereka yang mengikutimu dari kalangan orang mukminin”.

“Dan orang-orang yang menyakiti orang mukminin dan mukminat dengan apa yang tidak diperbuat oleh mereka, maka mereka itu telah menanggung kesalahan menuduh secara dusta dan dosa yang besar.”

Di dalam bab ini juga terkait dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abi Mas’ud dan Ibn Abbas sebelum ini.

Daripada Abi Musa al Asy’ari ra katanya, sabda Nabi SAW: “Di antara tanda-tanda pengagungan terhadap Allah adalah memuliakan orang tua-tua yang muslim, (memuliakan) para penghafal Al Quran yang tidak melampau batas Al Quran atau tidak menjaga haknya, serta (memuliakan) penguasa yang adil”.
Diriwayatkan oleh Abu Dawud, hadis hasan.

Daripada Aisyah ra katanya,: “Rasululullah SAW telah memerintahkan kami untuk memuliakan manusia mengikut kedudukan mereka”.
Diriwayatkan oleh Abu Dawud di dalam Sunannya dan Al Bazzar di dalam Musnadnya. Kata Al Hakim Abu Abdillah di dalam kitab ‘Ulumul Hadisnya: Hadis ini sahih.

Daripada Jabir ra: Bahawa Nabi SAW pernah mengebumikan dua orang syuhada perang Uhud di dalam satu liang lalu Baginda SAW bersabda: “Siapakah di antara kedua orang ini yang lebih banyak menghafal Al Quran?” Orang yang ditunjuk oleh para sahabat (sebagai jawapan kepada soalan Nabi SAW itu) akan didahulukan untuk dikebumikan.
Diriwayatkan oleh Al Bukhari.

Daripada Abi Hurairah ra daripada Nabi SAW: Allah Ta’ala berfirman; “Sesiapa yang menyakiti seorang waliKu maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang kepadanya. Bukhari.

Dan telah tsabit di dalam As Sahihain dari Baginda SAW sabdanya: “Sesiapa yang bersolat subuh maka dia di dalam jaminan Allah Ta’ala. Maka janganlah seorang daripada kamu berhasrat untuk mengganggu orang yang dijamin oleh Allah.”

Dan daripada dua orang Imam yang mulia, Abi Hanifah dan As Syafi’e ranhuma, kata mereka: “Jika para ulama itu bukan para wali Allah maka tiadalah wali Allah”. ( Yakni: siapa lagi wali Allah itu selain para ulama).

Berkata Al Imam Al Hafiz Abul Qasim Ibn Asakir ra: “Ketahuilah wahai saudaraku! -semoga Allah memberi taufik kepada redhoNya untuk kami dan dirimu serta menjadikan kita dari kalangan orang yang takut dan bertaqwa kepadaNya dengan sebenar-benar taqwa-; Sesungguhnya daging para ulama itu beracun, dan telah menjadi sesuatu yang termaklum bahawa Allah akan membuka rahsia dan keaiban mereka yang menghina para ulama itu. Dan barangsiapa yang membiarkan lidahnya mencaci dan mengumpat para ulama, maka ia akan dibalakan Allah dengan mematikan hatinya sebelum kematiannya yang sebenar”.
“Maka hendaklah orang yang menyelisihi perintah Rasul itu takut akan ditimpa fitnah (bala bencana) atau akan ditimpa azab yang pedih”. (An Nuur-93)

Bersambung...

- Abu Najla -

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #2

BAB 2: KEUTAMAAN BACAAN AL QURAN DAN PEMBACANYA DI ATAS SELAINNYA.

Telah tsabit daripada Abi Mas’ud al Ansari al Badri ra daripada Nabi SAW, sabdanya: “Hendaknya yang menjadi pemimpin sesuatu kaum adalah orang yang paling pakar tentang kitab Allah Ta’ala.” Diriwayatkan oleh Muslim.

Daripada Ibni Abbas ra katanya: “Sesungguhnya para Qurra’ adalah anggota majlis mesyuarat Umar ra yang terdiri daripada para pemuda”. Diriwayatkan oleh Al Bukhari di dalam Sahihnya.
Akan datang di dalam bab yang berikut hadis-hadis yang bersangkut dengan bab ini.

Ketahuilah!
Bahawa mazhab yang sahih lagi terpilih serta menjadi pegangan para ulama menyatakan yang bacaan Al Quran itu lebih utama daripada tasbih,tahlil, dan zikir-zikir yang lain dari keduanya dan sesungguhnya telah jelas dalil-dalil tentang perkara tersebut. Wallahu a’lam.

Bersambung...

- Abu Najla -

Monday, March 12, 2012

ADAB PARA PENGHAFAL AL-QURAN - SIRI #1

Berikut adalah terjemahan daripada sebuah kitab yang sangat terkenal karangan Imam An-Nawawi rahimahullah rahmatan waasi'ah, yang bertajuk At-Tibyaan fi Adaabi Hamalatil Quran yang bermaksud "Penerangan berkaitan Adab Para penghafal Al-Quran".

Kitab ini membahaskan kelebihan dan adab-adab yang berkaitan dengan Al-Quran dan para penghafal Al-Quran, serta adab yang patut dijaga oleh seluruh manusia amnya apabila berinteraksi dengan Al-Quran.

***

 
BAB 1: SEDIKIT TENTANG KELEBIHAN MEMBACA DAN MENGHAFAL AL QURAN

Firman Allah: “Sesungguhya orang-orang yang membaca kitab Allah dan mendirikan solat serta menafqahkan apa-apa yang telah kami rezekikan kepada mereka secara rahsia dan terang-terangan, maka mereka itulah orang-orang yang mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi. Balasan amalan mereka akan disempurnakan beserta tambahan dari kurniaNya. Sesungguhnya Dia amat Pengampun lagi berterima kasih”.

Dan kami telah meriwayatkan dari Usman bin Affan ra katanya, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya”. Diriwayatkan oleh Muhammad bin Ismail bin Ibrahim Al Bukhari di dalam Sohihnya iaitu kitab yang paling sohih setelah Al Quran.

Daripada Aishah ra katanya, Nabi SAW bersabda: “Orang yang mahir membaca Al Quran bersama para malaikat yang mulia sementara orang yang tergagap-gagap membaca dan susah untuk menyebut akan diberi dua pahala” (pahala membaca dan pahala disebabkan ia mengulang-ngulang). Diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Abul Husain Muslim bin Hajjaj bin Muslim Al Qusyairi An Nisaaburi di dalam Sohih mereka.

Daripada Abi Musa Al Asy’ari ra katanya, Nabi SAW bersabda: “Perumpamaan seorang mukmin yang membaca Al Quran adalah seperti buah limau manis. Harum baunya serta enak rasanya. Perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al Quran pula seumpama buah kurma kering (tamar). Tiada harumnya namun rasanya sedap dan manis. Perumpamaan orang munafiq yang membaca Al Quran adalah seperti tumbuhan Raihanah yang harum baunya namun pahit rasanya. Adapun orang munafiq yang tidak membaca Al Quran pula adalah seumpama buah labu yang tidak berbau serta pahit pula rasanya”. Diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Muslim.

Daripada Umar Al Khattab ra, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat (memuliakan) segolongan manusia dengan kalam ini (Al Quran) dan merendahkan (menghinakan) segolongan yang lain”.

Daripada Abi Umamah Al Bahili ra katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Al Quran kerana ia akan datang di hari kiamat sebagai penolong kepada yang membacanya”. Diriwayatkan oleh Muslim.

Daripada Ibni Umar ra daripada Nabi SAW yang bersabda: “Tidak boleh hasad kecuali kepada dua jenis manusia;
  1. Lelaki yang diberi Al Quran oleh Allah lalu dia membaca (dan menegakkan haknya) malam dan siang.
  2. Lelaki yang diberi harta oleh Allah lalu dia menyedekahkannya malam dan siang”.
Kami juga telah meriwayatkan dari Ibni Mas’ud dengan lafaz:-
  1. Lelaki yang diberi Allah harta lalu dia membelanjakannya dengan benar
  2. Lelaki yang diberi Allah hikmah lalu dia menghukum dengannya serta mengajarkannya”.
Dan daripada Ibni Mas’ud ra, sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu pahala akan digandakan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif lam miim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, laam satu huruf dan miim satu huruf”. Diriwatkan oleh Abu Isa Muhammad bin Isa At Tirmizi. Katanya hadis hasan sohih.

Daripada Abi Said Al Khudri ra, sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang disibukkan oleh (membaca) Al Quran dan mengingatiKu daripada meminta-minta kepadaKu, akan Kuberikan kepadanya lebih daripada apa yang diminta oleh orang-orang yang meminta (kepadaKu)”. Diriwayatkan oleh At Tirmizi. Hadis hasan gharib.

Daripada Ibni Abbas ra katanya: sabda Rasulullah SAW: ”Orang yang tidak ada di dalam dadanya sesuatu (bahagian) daripada Al Quran adalah seperti rumah yang roboh”.
Diriwayatkan oleh At Tirmizi dan katanya hadis hasan sahih.

Daripada Abdillah bin Amru ibnil Ash ra daripada Nabi SAW, sabdanya: “Akan dikatakan (di hari kiamat) kepada Sohibil Quran (penghafal dan orang yang selalu membaca Al Quran serta mengamalkannya) bacalah dan naiklah! Seperti mana dahulu engkau membaca di dunia. Sesungguhya tempatmu (di dalam syurga) adalah pada ayat terakhir yang engkau membacanya”.
Diriwayatkan oleh Abu Dawud, At Tirmizi dan An Nasaie. Kata At Tirmizi, hadis hasan sahih.

Daripada Suhail bin Muaz daripada bapanya Muaz ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca Al Quran dan beramal dengan kandungannya, akan dipakaikan Allah kepada kedua ibu bapanya mahkota pada hari kiamat. Cahaya sinaran mahkota itu lebih indah daripada sinaran matahari yang memancar ke dalam rumah-rumah di dunia. (jika demikian keadaan kedua ibu bapanya) maka bayangkanlah tentang keadaan orang yang beramal itu sendiri.” Diriwayatkan oleh Abu Dawud.

Ad Daarimi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdillah ibn Mas’ud ra daripada Nabi SAW, sabdanya: “Bacalah Al Quran kerana sesungguhnya Allah Ta’ala tidak akan mengazab hati yang menampung Al Quran. Sesungguhnya Al Quran ini hidangan/ majlis jamuan Allah. Sesiapa yang masuk kedalamnya akan aman. Dan sesiapa yang mencintai Al Quran maka bergembiralah”.

Daripada Abdil Hamid al Hammani katanya. ”Aku bertanya Sufyan Ats Tsauri tentang apakah lelaki yang berperang jihad atau lelaki yang membaca Al Quran lebih disukainya?”. Beliau menjawab: ”Yang membaca Al Quran, kerana Nabi telah bersabda; “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya”.

Bersambung...

- Abu Najla -

Sunday, March 11, 2012

KEBERSIHAN PENYEMPURNA KEIMANAN

Assalamualaikum buat semua pengunjung blog.

Seringkali kita mendengar ungkapan seperti "kebersihan itu separuh daripada Iman" dan lain-lain ungkapan berkenaan kebersihan di dalam kuliah-kuliah atau rancangan televisyen. Namun apakah kita sebagai umat Islam benar-benar mempraktikkan aspek kebersihan seperti disuruh agama kita yang mulia di dalam kehidupan seharian kita? "Tepuk dada tanya diri masing-masing".

Tuntutan kebersihan atau "Toharah" di dalam Islam adalah sesuatu yang amat diambil berat. Jika kita mempelajari ilmu feqah, maka perbahasan yang awal-awal sekali adalah mengenai bab toharah ini. Ironinya, kebanyakan (bukan semua ya!) masjid-masjid kita dipenuhi tahi cicak dan sawang, tandasnya kotor dan hancing, karpet dan sejadah berbau hapak  dan pelbagai lagi yang langsung tidak selari dengan kebersihan yang dikehendaki agama kita.

Sudah sepatutnya mulai hari ini kita semua mengambil berat akan hal ini, dan Jawatankuasa Masjid mungkin juga boleh membuat jadual bertugas mengikut kelapangan bagi para Muslimat di dalam qaryah  masjid tersebut bagi menyapu, mengemas dan mencuci masjid.

Cuma masalahnya orang kita mereka akan merungut pula; "Habis, Tok Siak makan gaji buta saja lah??!!"
Haaii...

Hmm, apa-apa pun, kan bagus kalau tandas masjid dan surau kita macam gambar kat bawah ni, betul tak? :)